saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penduduk Taman Mutiara Gombak menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk memindahkan lokasi pembinaan menara telekomunikasi di taman berkenaan.
Jurucakap penduduk taman berkenaan, Aminuddin Yahya berkata, lokasi pembinaan menara itu bertempat di kawasan landskap yang menjadi tempat rehat penduduk, murid serta pelajar sekolah berhampiran.
Dia berkata, pembinaan menara telekomunikasi berkenaan sudah merosakkan taman landskap itu dan paling membimbangkan adalah kawasan pembinaan tidak ditutup dengan pagar keselamatan.
“Bayangkan kalau ada anak-anak kecil bermain di sini, tempat pembinaan terbuka, tiada pagar, tiada keselamatan dan jika berlaku apa-apa, siapa yang akan bertanggungjawab.
“Saya juga agak pelik apabila pembinaan ini tiada notis pemberitahuan atau papan tanda kerja pembinaan yang selalu kita lihat di mana-mana tapak pembinaan lain.
“Kawasan pembinaan menara telekomunikasi ini adalah tidak logik kerana memilih kawasan sesak serta laluan itu turut digunakan oleh murid serta pelajar daripada tiga buah sekolah berhampiran,” katanya.
Aminuddin berkata, penduduk di taman ini tidak dimaklumkan berhubung pembinaan itu, tiada perbincangan sedangkan mereka adalah pemegang taruh walaupun tanah itu milik pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, penduduk taman ini mencadangkan kepada pihak berkaitan untuk memindahkan tapak pembinaan menara telekomunikasi ke tempat lain yang lebih strategik.
“Di dalam taman ini, banyak lokasi lain yang lebih strategik dan kenapa perlu buat pembinaan di taman landskap yang sudah cantik serta menjadi tempat penduduk untuk beristirehat.
“Saya harap pihak berkaitan dapat menimbangkan cadangan ini kerana ia membahayakan keselamatan selain lokasi ini adalah tempat sesak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




