Penemuan 6 rangka manusia: 'Kami tidak tahu wujud rumah di situ'- Penduduk

Penemuan 6 rangka manusia: 'Kami tidak tahu wujud rumah di situ'- Penduduk

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lokasi penemuan rangka manusia yang dipercayai mangsa pembunuhan di sebuah rumah terbakar adalah tanah persendirian.

Tinjauan ke lokasi mendapati kawasan berkenaan tidak boleh dimasuki kerana berpagar.

Selain rumah terbakar, terdapat beberapa rumah terbiar termasuk sebuah kuil terletak di kawasan berkenaan.

Malah laluan ke kawasan berkenaan tidak berturap serta dipenuhi sisa bahan binaan.

Tiada individu ditemukan di kawasan berkenaan yang dalam keadaan sunyi.

Seorang penduduk Kangkar Pulai yang enggan dikenali berkata, kawasan itu terletak jauh daripada laluan utama hingga penduduk sekitar kawasan itu tidak mengetahui wujudnya rumah di situ.

“Kami difahamkan kawasan itu milik seorang lelaki sebelum ini dan ia sudah dijual kepada pemilik baharu.

“Walaupun kami penduduk lama di kawasan ini, kami tidak pernah ke kawasan kebun kelapa sawit itu kerana tiada urusan di situ.

“Kami terkejut apabila difahamkan berlaku pembunuhan di situ kerana kami tidak sangka ada yang tinggal di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, dia mahupun rakan-rakannya juga tidak mengenali keluarga mangsa.

“Kami percaya mangsa bukan penduduk asal Kangkar Pulai kerana kami juga tidak pernah menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa,” katanya.

Akhbar ini melaporkan polis menemukan rangka enam individu termasuk empat kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di sebuah rumah yang musnah terbakar di kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, rangka itu ditemukan memiliki kesan terbakar pada 9 Januari lalu.

Beliau berkata, rangka berkenaan ditemukan oleh seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mengesan ahli keluarganya yang terputus hubungan sejak tiga bulan lalu.

Siasatan awal mendapati enam mangsa termasuk seorang ibu berusia 35 tahun bersama tiga anak perempuan berusia 5,9,17 dan anak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa dipercayai rakan lelaki wanita itu berusia 29 tahun.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada 4 petang, 21 Januari lalu, polis menahan empat suspek termasuk tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun di kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top