essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkongsi pengalaman cemas beliau apabila penerbangan dari Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit berubah menjadi hampir empat jam akibat cuaca buruk, malam tadi.
Loke yang menaiki penerbangan AirAsia AK6047 pada 10.45 malam selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor, memaklumkan bahawa pesawat terpaksa berpusing di ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas cubaan mendarat gagal ekoran angin lintang kuat serta ribut petir.
“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat dan ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan.
“Kami berpusing di ruang udara KLIA dan akhirnya pesawat terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Loke, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut mengalami lencongan, manakala kemungkinan ramai penumpang lain juga terkesan akibat cuaca tidak menentu yang menjadi antara cabaran utama dalam operasi penerbangan.
Bagaimanapun, beliau memuji tindakan pantas dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh Kapten pesawat, Teng Huah Jer dan Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi berkenaan.
“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penumpang. Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi seperti itu” katanya.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden itu.
“Walaupun mereka terpaksa bekerja lebih masa, kru tetap senyum dan meminta maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan. Mereka adalah contoh terbaik kru penerbangan.
“Terima kasih diucapkan kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan ramai lagi kakitangan sokongan iaitu wira-wira yang tidak didendang, dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA atas tindakan pantas dan koordinasi yang membawa kami pulang dengan selamat,” katanya.
Katanya, pesawat akhirnya mendarat selamat di KLIA pada jam 2.40 pagi dan sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan kepada kru penerbangan, beliau menunggu semua penumpang turun dahulu sebelum meninggalkan pesawat.
© New Straits Times Press (M) Bhd