
Peta laluan penerbangan di ruang udara Asia Barat ketika Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel. Foto Agensi
NEW YORK – Ribuan penumpang terjejas selepas ruang udara Iran, Iraq, Israel dan Jordan ditutup susulan serangan peluru berpandu kedua-dua negara pada awal pagi Jumaat dan Sabtu, lapor Euronews.
Serangan tersebut memaksa syarikat penerbangan antarabangsa segera mengubah laluan dan membatalkan penerbangan ke kawasan terbabit.
Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv ditutup sehingga diberitahu kelak, manakala Emirates, Lufthansa, Air France, United dan Delta antara yang menggantung perkhidmatan ke rantau itu.
Syarikat penerbangan Israel, El Al dan Israir, turut mengalihkan pesawat mereka keluar dari negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut media tempatan, Iran, Iraq, Jordan dan Syria menutup ruang udara mereka selepas serangan berlaku.
Iran menutup Lapangan Terbang Mehrabad sehingga jam 1.30 pagi (waktu tempatan) Sabtu.
Syria pula menutup ruang udaranya hingga jam 3 petang Jumaat sebagai langkah keselamatan, manakala Jordan hanya membenarkan laluan tertentu dengan kebenaran khas.
Iraq turut menggantung semua trafik udara pada pagi Jumaat, menjejaskan laluan sibuk antara Eropah dan Asia yang melalui sempadan timur negara itu.
Menurut Eurocontrol, sekurang-kurangnya 1,800 penerbangan dari dan ke Eropah terjejas pada hari tersebut.
Difahamkan, penerbangan di ruang udara Iran sama ada dibatalkan, dipatah balik atau dilencong ke laluan selatan melalui Mesir dan Arab Saudi atau utara melalui Turkiye, Azerbaijan dan Turkmenistan. – Agensi