Tawau: Pelancaran penerbangan sewa khas pertama Firefly Airlines dari Nanjing, China ke Tawau pada 3 Februari menunjukkan pencapaian penting dalam memperkukuh kesalinghubungan udara antara China dan Malaysia selain menyokong promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, perkhidmatan sewa khas Nanjing-Tawau itu menekankan kepentingan strategik dalam memperluas hubungan udara antarabangsa ke destinasi utama di seluruh Malaysia.
“Akses langsung yang dipertingkatkan dari bandar utama China seperti Nanjing menambah baik kemudahan perjalanan dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi yang pelbagai dan menarik seiring dengan TMM2026.
“Inisiatif seperti ini mempunyai peranan penting dalam mengekalkan pertumbuhan pelancongan, meningkatkan ketibaan pelancong dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan penerbangan sewa khas ini beroperasi dua kali seminggu dengan kapasiti tempat duduk 176 penumpang bagi setiap penerbangan dan akan beroperasi sehingga akhir Februari 2026.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka berupaya memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat dari pasaran China di samping meningkatkan akses langsung ke Tawau sebagai pintu masuk utama ke pantai timur Sabah.
“Tawau berperanan sebagai pintu masuk penting ke pantai timur Sabah, menawarkan akses ke destinasi pelancongan marin yang terkenal di dunia, pengalaman eko-pengembaraan dan pelbagai warisan budaya,” katanya.
Tourism Malaysia berkata pelancaran itu menunjukkan kerjasama yang kukuh antara agensi itu dan rakan industri penerbangan.
Menurutnya sokongan Firefly Airlines, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Shanghai Eagle Aviation Service Co Ltd pula mengukuhkan lagi usaha promosi bersama untuk memperkenalkan pelbagai tawaran pelancongan Malaysia kepada pelancong dari Nanjing dan pasaran China yang lebih luas bagi menyokong TMM2026.
China kekal menjadi antara pasaran sumber pelancong terpenting Malaysia, katanya.
“Pada 2025, Malaysia merekodkan ketibaan 4.6 juta pelancong dari China yang mencerminkan permintaan perjalanan ke luar negara yang kukuh.
“Dalam tempoh yang sama, jumlah ketibaan pelawat antarabangsa mencecah 42.2 juta yang menunjukkan pemulihan berterusan dan trajektori pertumbuhan positif sektor pelancongan negara,” katanya.
Layari laman web www.tourism.gov.my dan akaun media sosial Tourism Malaysia seperti Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok untuk maklumat lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




