Penerbit berani ambik risiko tayang adegan panas

Penerbit berani ambik risiko tayang adegan panas

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerbit, Jaja Ishak berani mengambil risiko untuk menayangkan adegan panas dalam drama terbitannya demi menyampaikan mesej penting kepada masyarakat.

Jaja berkata, industri hiburan bukan sekadar wadah hiburan semata-mata, tetapi satu medium yang mampu memberi kesedaran mengenai isu-isu sosial yang sering dipandang remeh.

“Saya akui setiap penerbit mahu drama mereka mendapat sambutan, tetapi apa yang lebih penting adalah impak kepada masyarakat.

“Saya sentiasa percaya setiap cerita mempunyai tanggungjawabnya sendiri. Jika sesuatu isu itu penting untuk diangkat, kita harus bijak menyampaikannya tanpa mencetuskan provokasi.

“Saya mahu penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut berfikir dan mengambil pengajaran daripada jalan cerita yang dipersembahkan,” katanya.

Jaja berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kontroversi dua drama terbitan syarikat produksi Erma Fatima menerima kecaman susulan beberapa adegan panas yang dipaparkan dalam drama Bidaah dan Keluarga Itu.

Kontroversi itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton mengenai batasan dalam penghasilan drama tempatan.

Menurut Jaja, sebagai penerbit, penting untuk memahami garis pemisah antara keberanian dalam berkarya dan tanggungjawab terhadap penonton.

“Kita boleh membawa sesuatu yang berani, tetapi harus ada cara yang betul. Kreativiti dan tanggungjawab harus berjalan seiring.

“Saya yakin penonton sekarang bijak dalam menilai sesebuah karya, namun penerbit perlu peka dalam memastikan kandungan yang disampaikan tidak tersasar daripada matlamat asal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jaja yang juga pemilik Jaja Ishak Channel Sdn Bhd bakal menerbitkan telefilem Rahsia Kelabu yang akan ditayangkan di TV3, Sabtu ini.

Telefilem arahan Isma Yusoff itu menampilkan lakonan Khatijah Tan, Kamal Adli, Nelissa Nizam, Hazrat Muaz dan Boy Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top