Penerbit ‘ghaib’, saya tidak halalkan RM8,000 itu – Wafariena

Penerbit ‘ghaib’, saya tidak halalkan RM8,000 itu – Wafariena

KUALA LUMPUR: Pelakon, Wafariena Roslan, kecewa apabila penerbit dan syarikat produksi yang terlibat dalam isu kecederaan dialaminya di lokasi penggambaran beberapa tahun lalu didakwa menghilangkan diri bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Menurut Wafariena, 31, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk melalui saluran guaman, namun sehingga kini kes berkenaan masih menemui jalan buntu.

“Saya sudah keluarkan surat tuntutan sebanyak tiga kali, tetapi tiba-tiba syarikat itu hilang. Peguam saya pergi membuat pemeriksaan dan mendapati pejabat syarikat tersebut sudah kosong.

“Selepas itu, penerbit pula menghilangkan diri. Jadi, memang tidak boleh buat apa-apa.

“Peguam saya juga pernah berurusan dengan peguam mereka, tetapi akhirnya peguam pihak sana menarik diri,” katanya.

Wafa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem The Real Mamu, semalam.

Dalam pada itu, Wafariena mengakui masih terkilan apabila mengenangkan terpaksa menanggung sendiri sebahagian kos rawatan hospital akibat kecederaan yang dialaminya ketika menjayakan adegan lagak ngeri.

“Saya membayar lebih RM8,000 menggunakan wang sendiri untuk kos rawatan ketika itu.

“Bayaran terakhir yang sepatutnya saya terima, yang jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit, juga masih belum diperoleh sehingga hari ini.

“Saya memang tidak reda. Saya tidak halalkan dan belum mampu memaafkan. Saya yang menanggung sakit dan berdepan dengan semua kesannya,” katanya.

Tambah pelakon itu, supertele seram ang terbabit dengan isu berkenaan tidak boleh ditayangkan selagi pihak produksi gagal menyelesaikan tuntutan yang masih tertunggak.

“Drama itu tidak boleh ditayangkan kerana urusannya belum selesai. Sehingga hari ini, rakaman suara latar (voice over) saya masih ada.

“Mereka juga belum melunaskan bayaran terakhir kepada saya. Sebab itu perkara ini tergantung.

“Kalau mereka tetap menayangkan karya tersebut, itu adalah satu kesalahan kerana saya sudah mengemukakan saman,” jelasnya.

Terdahulu, pada 2022, Wafariena diminta menjayakan satu adegan yang memerlukan dirinya ditarik bagi menampakkan seolah-olah dia melambung ke udara.

Bagaimanapun, pihak produksi memaklumkan bahawa aksi yang dilakukan sekitar pukul 3 pagi itu perlu dijayakan sendiri oleh Wafariena dan bukannya pelakon lagak ngeri seperti yang dirancang sebelum ini.

Insiden tersebut menyebabkan pelakon berkenaan mengalami kecederaan dalaman, termasuk kecederaan tisu di bahagian punggung serta koyakan pada bahagian perut. — UTUSAN

Scroll to Top