am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tibanya Ramadan, penerbit dan syarikat produksi perlu lebih fleksibel dalam mengatur operasi di lokasi penggambaran bagi membolehkan petugas seperti pelakon dan kru mengimarahkan bulan mulia dan pada masa sama, cemerlang di lapangan pekerjaan.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, penerbit dan syarikat produksi juga perlu menghormati Ramadan dengan memastikan pelbagai aspek operasi, termasuk babak dilakonkan dalam produk drama atau filem, tidak mencemar kesucian bulan mulia.
“Penggiat seni yang melakukan penggambaran dalam bulan puasa ini buatlah mengikut kemampuan. Usah terlalu ‘push’ (mendesak) seperti bulan lain. Lebih baik jika kita beri ruang dan peluang untuk penggiat seni beragama Islam meluangkan waktu berbuka puasa dengan keluarga dan menunaikan solat tarawih,” katanya.
Zed berkata, Seniman berpandangan kru dan pelakon wajar diberi pelepasan atau dibenarkan pulang lebih awal agar mereka dapat berbuka puasa dengan keluarga dan menunaikan ibadat seperti solat tarawih.
“Kalau boleh, pasukan produksi yang majoritinya beragama Islam disaran berbuka puasa beramai-ramai dan sama-sama menunaikan solat tarawih.
“Langkah itu lebih afdal di mana kerja penggambaran akan menjadi lebih rileks. Insya-Allah kerja kita diredai.
“Kita juga tidak mahu memaksa pelakon dan kru untuk bekerja sampai tertekan pada Ramadan. Jadi, dengan adanya aktiviti seperti berbuka puasa beramai-ramai dan solat jemaah, ia memberi impak positif,” katanya.
Zed berkata, Seniman faham kerja penggambaran dan operasi harian tidak boleh dihentikan berikutan syarikat produksi rata-rata ‘mengejar’ tarikh untuk produk disiapkan.
“Namun, apa yang dipinta, penerbit dan syarikat produksi perlu bertimbang rasa dengan pekerja. Kita boleh merancang lebih awal dengan menyusun jadual kerja apabila tibanya Ramadan,” katanya.
Zed berkata, Seniman sedar ada penggiat seni mengambil keputusan berehat sepanjang Ramadan. Namun, selain kelompok itu, ada juga kru dan pelakon yang terus bekerja sepanjang bulan puasa.
“Andai semua orang bercuti, siapa yang mahu bekerja? Jadi, penggambaran tetap diteruskan. Namun, apabila aktiviti ini dilakukan pada Ramadan, kenalah berpada-pada. Apatah lagi, tenaga kita tidak sama seperti bulan lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd