ahmad.suhael@bh.com.my
SUBANG: Penerima vaksin COVID-19 masih perlu menjalani ujian saringan sekiranya mahu mendapat kelonggaran daripada dikuarantin apabila pergi atau pulang dari luar negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata itu adalah ketetapan mana-mana negara yang mewujudkan pasport vaksin COVID-19 dengan mewajibkan penerima dos lengkap menyertakan hasil ujian saringan wabak itu.
Katanya, syarat itu dikenakan kerana penerima vaksin COVID-19 masih boleh dijangkiti virus berkenaan, sekali gus berisiko menyebarkannya.
“Sebarang pasport vaksin mesti mengandungi butiran ujian RT-PCR atau RTK-Antigen. Protokol digunakan mana-mana negara adalah untuk melihat bukti vaksinasi dan ujian.
“Sesiapa yang telah menerima vaksin COVID-19 walau apa jenis sekali pun, boleh dijangkiti wabak ini kerana ia bukan 100 peratus (melindungi daripada dijangkiti).
“Peraturan paling sesuai dan paling ketat adalah untuk kita meminta bukti vaksinasi serta bukti ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 72 jam.
“Malaysia belum buat keputusan, tapi apabila kita buat keputusan untuk memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang sudah divaksin, mesti ada juga bukti ujian dan vaksinasi,” katanya pada sidang media Kasihi Autisme Bersama Champs di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai sekumpulan warga China yang berkunjung ke Sarawak, didapati positif COVID-19 walaupun sudah menerima dua suntikan vaksin di negara mereka.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, dilaporkan berkata, kes positif itu dikesan selepas ujian RT-PCR dilakukan ke atas mereka yang sedang menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di Sarawak.
Pada 17 Mac lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata, individu yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin COVID-19 di negara ini akan diberi sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera serta lencana imunisasi.
BH sebelum ini melaporkan, pakar kesihatan awam beranggapan penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus COVID-19 dari luar negara yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




