Peneroka disengat tebuan pinjam duit ah long

KUANTAN – Antara kisah yang terkesan sebagai anak Felda ialah kisah seorang peneroka yang disengat tebuan terpaksa meminjam wang daripada ah long kerana tidak mempunyai tabungan kecemasan apabila tidak dapat bekerja.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, peristiwa pada zaman remajanya dikongsikan menerusi kisah duit dalam MyDuitStory bagi memupuk kesedaran kepentingan menyimpan dana kecemasan untuk menghadapi keadaan luar jangka.

“Peneroka itu terputus pendapatan kerana tidak dapat bekerja dan mencari jalan keluar dengan meminjam wang daripada ah long.

“Setelah kembali sihat dan mampu bekerja, beliau terpaksa membayar bunga yang tinggi sehingga 10% sebulan.

Akibat meminjam ah long, sebahagian besar daripada pendapatan beliau diperuntukkan untuk membayar bunga sehingga menjejaskan kemampuan beliau untuk menyara keluarga.

Menurut Shahar, sebagai seorang yang membesar di kawasan Felda, kisah sebegitu perlu dijadikan panduan kerana malang tidak berbau dan tiada siapa dapat menjangka  musibah seperti kematian, jatuh sakit dan kemalangan.

“Masalah yang dihadapi boleh ditangani dengan mengambil perlindungan insurans atau takaful kerana dengan sumbangan takaful peneroka itu boleh mendapatkan manfaat sekiranya dimasukkan ke hospital, sehingga maksimum 30 hari.

“Wang manfaat ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan keluarga dan mengelakkan daripada terpaksa berhutang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata, kebanyakan aduan yang diterima daripada rakyat ialah kegagalan menyimpan wang kecemasan sehingga terpaksa menggadai harta benda, selain daripada terlibat dengan peminjam wang tidak berlesen.

“Antara aduan yang selalu kami terima adalah masalah kewangan yang terjadi daripada peristiwa yang tidak dijangka dan tidak dapat dielakkan, seperti kemalangan, kebakaran dan sebagainya.

“Ramai yang mengambil jalan mudah seperti meminjam ah long, ada pula yang menjual aset yang menjadi sumber rezeki mereka.

Masalah ini dapat dielakkan sekiranya orang ramai dapat merancang risiko kewangan dengan menyimpan sedikit wang kecemasan dan mengambil perlindungan insurans atau takaful.

Beliau berharap penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) supaya memanfaatkan kemudahan penggunaan Program Baucar Perlindungan Tenang  yang telah ditingkatkan ke RM75 seperti pembentangan Bajet 2022.

“Layarilah www.myptv.my untuk menyemak kelayakan serta membeli atau menyertai produk Perlindungan Tenang bagi  melindungi diri dan keluarga kita daripada risiko kewangan,” katanya. -MalaysiaGazette