Peng tawan tawan 5 gunung agung dalam 5 hari

Peng tawan tawan 5 gunung agung dalam 5 hari

Beijing: Seorang wanita dari barat daya China meraih perhatian selepas berjaya mendaki lima gunung terkenal di lima wilayah dalam tempoh lima hari. 

Peng, 27, memulakan perjalanan dari kampung halamannya di Guiyang, wilayah Guizhou, pada 23 September.

Dia mendaki Gunung Hua di wilayah Shaanxi pada 24 September, diikuti Gunung Heng di wilayah Shanxi pada 25 September, Gunung Tai di wilayah Shandong pada 26 September, Gunung Song di wilayah Henan pada 27 September dan satu lagi Gunung Heng di wilayah Hunan pada 28 September.

Kelima-lima gunung itu dikenali sebagai Lima Gunung Agung China yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kepentingan sejarah dan budayanya.

Memetik South China Morning Post, Peng dilapor berkata, dia tertarik mencuba cabaran itu selepas menemui pakej pelancongan yang mengajak orang ramai mendaki lima gunung berkenaan bagi ‘memahami China secara mendalam’.

Sebagai peminat aktiviti pendakian, dia memutuskan untuk menyahut cabaran itu pada akhir September lalu sebagai meraikan hari ke-10,000 usianya.

Difahamkan, Peng mendaki pada waktu siang sebelum meneruskan perjalanan dan tidur di dalam kereta api pada waktu malam.

Dia menggunakan aplikasi Liang Bu Lu untuk merekodkan laluan pendakian dan membuat daftar masuk di lokasi ditetapkan di puncak setiap gunung, seperti yang diwajibkan penganjur.

Peng dilapor mengambil masa antara empat hingga sembilan jam bagi mendaki setiap gunung dan berjalan sehingga 39,000 langkah sehari.

Dua daripada lima gunung terbabit iaitu Gunung Hua dan Gunung Heng di Hunan terpaksa menggunakan kereta kabel untuk turun.

Katanya, dia membelanjakan 4,000 yuan (kira-kira RM 2,442) untuk keseluruhan perjalanan, manakala berat badannya susut sebanyak 500 gram (g) selepas menamatkan cabaran berkenaan.

Peng mengakui tersangat letih selepas menawan gunung terakhir, namun pulih dengan cepat selepas berehat pada malam dan tidak mengalami sakit otot atau keletihan berpanjangan.

Walaupun bimbang sebelum memulakan perjalanan kerana tidak pernah mendaki untuk tempoh lama atau pada tahap intensiti sedemikian, wanita itu berbangga apabila berjaya menyelesaikan cabaran dengan lancar termasuk dengan bantuan orang tidak dikenali sepanjang perjalanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top