Pengadil didakwa sebelahi Ronaldo, Al Nassr dalam perebutan juara liga

Pengadil  didakwa sebelahi Ronaldo, Al Nassr dalam perebutan juara liga

Riyadh: Penyerang Ivan Toney mempersoalkan integriti pengadilan dalam Liga Pro Saudi, manakala rakan sepasukannya di Al Ahli, Galeno membayangkan pertandingan itu hanya mahu ‘seorang individu’ menjulang kejuaraan.

Individu yang dimaksudkan dipercayai Cristiano Ronaldo dari Al Nassr, yang masih belum memenangi gelaran liga sejak tiba di Arab Saudi pada Disember 2022.

Pemain Al Ahli merasakan mereka dinafikan sekurang-kurangnya dua sepakan penalti dalam keputusan seri 1-1 menentang Al Fayha kelmarin, keputusan yang menyebabkan mereka jatuh ke tangga ketiga, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Al Nassr yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

“Serahkan sahaja trofi, itu yang mereka mahu,” tulis Galeno di X selepas perlawanan. “Mereka mahu menyingkirkan kami dari perebutan kejuaraan dengan apa cara sekalipun, mereka mahu menyerahkan trofi kepada seorang individu. Ini satu penghinaan besar terhadap kelab kami.”

Apabila ditanya siapa yang mendapat manfaat, Toney tidak menyebut Al Nassr secara langsung tetapi berkata:

“Kita semua tahu siapa. Siapa yang kita kejar?”

Pemain antarabangsa England itu, yang menjaringkan gol ke-27 liga minggu ini untuk terus mendahului carta penjaring, meluahkan rasa kecewa apabila rayuan penalti mereka ditolak walaupun selepas semakan VAR.

“Isu terbesar adalah dua penalti itu,” kata Toney. “Jelas sangat. Saya tak tahu apa lagi yang mereka mahu, angkat bola dengan dua tangan baru nak bagi penalti?

“Bila kami cuba bercakap dengan pengadil, dia kata: ‘Fokus kepada AFC’. Macam mana pengadil boleh cakap macam itu?

“Kalau saya nak cerita lebih, saya boleh tapi mungkin saya akan kena masalah. Saya jenis cakap terus terang.

“Jelas sekali fikiran pengadil di tempat lain. Sepanjang musim itu memang penalti. Tapi bila masuk waktu genting, keputusan berubah. Saya tak tahu kenapa.”

Dalam satu kenyataan, Al Ahli turut menyuarakan kebimbangan terhadap proses pemilihan pengadil dan berkata:

“Pasukan ini berdepan keputusan pengadilan yang tidak adil, satu situasi yang tidak boleh diterima dan tidak membantu perkembangan liga atau prinsip keadilan dalam persaingan.”

Ditanya mengenai peluang kejuaraan, Toney berkata: “Kami teruskan saja, buat apa yang kami mampu. Harap dapat pengadilan yang adil. Kalau pengadil bagus dan kami bermain seperti biasa, peluang tetap ada. Tapi kalau jadi macam ini, memang susah.”

Al Nassr pula belum memenangi Liga Pro Saudi sejak musim 2018-19. Mereka kini dua mata di depan tempat kedua Al Hilal dan dijadualkan menentang Al Okhdood, esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top