mohamadridzuan@hmetro.com.my
SIRI 3
Kristal akhirnya masuk studio untuk merakamkan album pertama. Bagaimanapun, tanpa disangka rezeki Afif untuk menjadi vokalis tidak kesampaian dan terpaksa digantikan oleh orang lain.
“Afif dah rakam dua atau tiga lagu. Tapi mungkin dia agak perlahan atau ‘blur’ buatkan arwah abang Napie tak boleh sabar lagi. Faham-fahamlah kos studio tinggi.
“Jadi mereka suruh M Nasir cakap dengan abang Awie untuk tukar penyanyi. Terpaksalah Pak Din cari pengganti. Ramai jugalah yang kami ‘audition’ tapi tak berjaya.
“Akhirnya, Pak Din pergi Sekolah Lembah Keramat. Dia ‘random’ saja tanya budak-budak sekolah situ, ada budak pandai menyanyi tak kat sini? Budak itu kata ada dan dia kenalkanlah dengan Lan.
“Kristal waktu itu dianggotai oleh saya, arwah Bob (gitar), Izal (bass), Ainol (dram) dan Lan (vokalis). Rasanya lebih 10 album juga kami rakam dengan Lan,” katanya.
Semasa permulaan Kristal, banyak juga ujian yang terpaksa ditempuhi oleh mereka sebelum benar-benar berjaya.
“Masa album pertama, Semut & Lebah pada tahun 2000, kami buat promosi bertemu peminat di Johor. Sambutan memang hebat sebab abang Awie ikut sekali dengan rombongan motor besar.
“Memang gilalah sebab dia memang betul-betul nak perkenalkan Kristal sebagai anak didik dia. Jadi dia ikut. Itu memang ‘best’ bila dekat sana memang ramailah orang dah tunggu.
“Dua tiga tempat jugalah kami buat promosi di Johor termasuk sesi temubual di radio Best 104. Selain semenanjung, kami juga pergi Sarawak. Kali pertama naik kapal terbang, seronoklah semua,” katanya.
Menurutnya, pengalaman ini kekal di ingatan kerana terpaksa menempuh masa yang panjang untuk ke lokasi persembahan.
“Ingatkan ‘show’ di Kuching, rupanya kena tempuh lapan jam lagi perjalanan baru sampai tempat show. Lokasinya di daerah Pusa, Betong Sarawak. Lembik kami dibuatnya.
“Tapi dah masuk kampung jadi terujalah. Maklumlah benda baru. Seronoknya lain macam. Memori ini saya ingat sampai bila-bila kerana sangat lain.
“Satu lagi kenangan yang saya tak dapat lupa ialah apabila kami dapat beraksi dengan abang Awie dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2000. Semua atas usaha abang Awie,” katanya.
Rody berkata, walaupun persembahan itu di hujung acara, ia tetap memberi impak terhadap karier Kristal.
“Ia buka mata banyak syarikat rakaman tapi abang Awie dah capai persetujuan dengan EMI untuk edarkan album kami. Bila AIM, baru nampak tapi dah terlambatlah sebab dia dah deal dengan EMI.
“Masa album kedua, Pak Belalang pada 2002, banyak jugalah kami dapat tajaan untuk rambut, baju dan macam-macam lagi. Tapi waktu itu sebenarnya abang Awie agak struggle berdepan isu kewangan.
“Syukurlah album itu meletup dengan lagu Delaila. Lagu itu masuk banyak carta dan menang. Kira Delaila ini penyelamat. Lagu pun ciptaan Merah.
“Dari situlah kami dapat menghasilkan album ketiga, N. T Virus pada 2004,” katanya yang kini meneruskan perjuangan Kristal bersama Ewal (vokalis), Kechiq (bass) dan Acap (dram).
© New Straits Times Press (M) Bhd




