Jonathan Vela wajar diberi perhatian sebagai antara pemimpin muda yang berpotensi diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berdasarkan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, politik dan khidmat masyarakat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, sudah tiba masanya parti politik memberi lebih banyak peluang kepada individu muda yang mempunyai kelayakan, kepakaran dan pengalaman untuk diketengahkan sebagai pemimpin baharu.
“Berdasarkan profil dan pengalaman beliau, saya rasa memang dia layak untuk diberi perhatian dan keutamaan bagi parti untuk mengetengahkan nama baharu dan nama muda.
“Sudah masa kita memberi lebih peluang kepada mereka yang layak dan mempunyai kepakaran,” katanya ketika ditemu bual Oh My Media.
Menurut Syaza Farhana, pengalaman Jonathan dalam pentadbiran kerajaan turut memberikan kelebihan kerana beliau mempunyai pendedahan terhadap selok-belok pengurusan pentadbiran, sekali gus membolehkan calon dinilai berdasarkan pengalaman dan prestasi, bukan sekadar retorik politik.
“Kelebihannya, dia mempunyai pengalaman dalam pentadbiran yang memberikan beliau kelebihan. Maksudnya, bukan sekadar bercakap kosong tetapi memahami selok-belok pentadbiran.
“Kedua, ia menggalakkan politik matang apabila calon diukur berdasarkan pengalaman dan prestasi, bukannya retorik kosong,” ujarnya.
Prof. Madya Syaza Farhana Mohamad Shukri
Bagaimanapun, beliau berkata parti politik perlu mengimbangi pengalaman seseorang calon dengan kebolehannya memenangi pilihan raya termasuk tahap pengenalan dalam kalangan masyarakat dan penglibatan di peringkat akar umbi.
“Parti politik mahu menang pilihan raya dan kadangkala untuk menang pilihan raya tidak semestinya berdasarkan pengalaman.
“Jadi, mencari keseimbangan itu penting, iaitu calon yang winnable, maksudnya dikenali dan dekat dengan rakyat melalui kerja akar umbi, selain mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan,” jelas beliau.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Romzi Ationg berkata, pengalaman Jonathan merentasi pentadbiran politik, sektor korporat dan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan asas untuk menilai potensi beliau dalam konteks kepimpinan dan khidmat masyarakat.
Prof. Madya Dr. Romzi Ationg
Namun begitu, beliau berkata pengalaman kerjaya yang dimiliki Jonathan boleh diperkukuh menerusi rekod pencapaian, penerimaan positif masyarakat serta keupayaan menawarkan penyelesaian dasar yang praktikal bagi meningkatkan potensinya dalam landskap politik menjelang PRU akan datang.
“Perkara penting termasuk hasil kerja yang boleh dibuktikan, tahap penerimaan masyarakat, kefahaman terhadap isu setempat, integriti serta keupayaan mengemukakan penyelesaian dasar yang praktikal.
“Oleh itu, Jonathan boleh dinilai melalui kriteria tersebut bersama calon lain, tanpa membuat kesimpulan awal berdasarkan profil semata-mata,” katanya.
Romzi berkata, pengalaman berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri berpotensi memberikan pendedahan kepada proses pentadbiran kerajaan, penyelarasan dasar dan hubungan antara institusi, yang boleh membantu seseorang memahami kaitan antara dasar di peringkat Persekutuan dengan keperluan masyarakat.

Malah beliau berkata, gabungan pengalaman dalam sektor kerajaan, korporat dan NGO berpotensi memberikan perspektif lebih luas kepada seseorang pemimpin khususnya dalam memahami dasar awam, pembangunan ekonomi serta keperluan komuniti.
Ujarnya, kelebihan itu perlu dibuktikan melalui keupayaan menangani masalah sebenar, menghubungkan masyarakat dengan agensi berkaitan dan memastikan sesuatu inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Latar belakang yang pelbagai boleh menjadi sumber pengetahuan, tetapi keberkesanannya tetap bergantung pada pelaksanaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembaharuan kepimpinan, Romzi berkata parti politik perlu membangunkan pelapis secara terancang dengan menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada dan idea baharu daripada generasi muda, tanpa menjadikan faktor usia sebagai ukuran utama kelayakan.
Tambahnya, pemimpin berpengalaman masih mempunyai peranan melalui pengetahuan institusi dan jaringan masyarakat, manakala generasi muda berpotensi membawa pendekatan baharu dalam komunikasi, teknologi serta penglibatan masyarakat.
“Pembaharuan kepimpinan yang berkesan bukan ditentukan oleh usia semata-mata, tetapi oleh keupayaan parti menggabungkan pengalaman, merit, integriti dan prestasi.
“Pendekatan tersebut membolehkan proses peralihan generasi berlaku secara teratur sambil mengekalkan pengetahuan dan pengalaman yang masih relevan,” tambahnya lagi.

Jonathan ketika ini disenaraikan sebagai Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak.
Beliau turut terlibat dalam kepimpinan pertubuhan masyarakat dan program kebajikan, selain mempunyai pengalaman dalam sektor korporat.




