Pengamal media perlu kreatif, tidak batas kemampuan sebenar – Ashwad

Pengamal media perlu kreatif, tidak batas kemampuan sebenar – Ashwad

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah (KP) Penyiaran, Ashwad Ismail, 41, bertekad mahu memperkasa industri media tanah air seiring keterbukaan dunia digital yang sudah berubah dalam era kecerdasan buatan (AI) ketika ini.

Menurut Ashwad, walaupun kemahiran manusia masih diperlukan dalam penyampaian laporan berita di lapangan tetapi pada masa sama perlu mahir juga beradaptasi dengan kemudahan AI.

Mengambil kira Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang meraikan ulang tahun ke-80 penubuhan pada 2026 ini, Ashwad memaklumkan pengamal media arus perdana masa kini perlu kreatif dengan tidak membataskan kemampuan sebenar.

“Tahun ini, RTM yang meraikan 80 tahun perlu memandang bagaimana untuk kita kekal berkesan selaku penyiar awam dan pada masa sama sebagai tonggak penyiaran media di dalam negara.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh tiga tahun Ketua Pengarah Penyiaran sebelum ini iaitu Datuk Suhaimi Sulaiman dapat dilihat berlaku perubahan drastik yang membuktikan beliau turut memastikan RTM beradaptasi dengan perubahan,” ujarnya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ashwad ditemui pengamal media daripada beberapa agensi pada sesi RTM@80: Tea & Thoughts Wacana Eksklusif Menyusuri Hala Tuju Masa Depan Penyiaran Negara di Menara Angkasapuri di sini, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang ASTRO Awani yang berpengqlaman hampir dua dekad dalam bidang kewartawanan dan penyiaran ini berkata, selain berusaha menongkah cabaran digital, pengamal media termasuk semua warga kerja penyiaran tanah air perlu berevolusi pada tahap lebih baik.

“Perancangan yang pertama adalah harus terbuka untuk mengadaptasi atau berinovasi melalui teknologi serta dijalin gabung dengan prinsip tanggungjawab yang tinggi kerana hari ini kita bercakap tentang era AI.

“Selepas ini juga pasti ada pelbagai benda pelik yang akan berlaku hasil daripada ledakan teknologi ini dalam kehidupan masyarakat yang merangkumi penyampaian berita, hiburan dan sebagainya.

“Tanggungjawab serta prinsip perlu didakap erat kerana apa yang lebih penting adalah semua maklumat disampaikan itu sahih serta berteraskan kerja beretika,” jelasnya lanjut.

Menyentuh pula mengenai usaha RTM beraksi ke kancah penyiaran antarabangsa, Ashwad optimis sekiranya langkah berkesan dapat diimplementasi di dalam industri media dan penyiaran untuk mencapai ‘standard’ tersendiri.

“Saya melihat kepada tempoh antara tiga hingga lima tahun akan datang di dalam dunia media ini. Sebenarnya industri kita mampu berada pada satu kedudukan yang sangat istimewa dan unik.

“Apatah lagi, bagi Malaysia yang terletak di dalam kedudukan paling strategik. Ditambah, rantau Asia Tenggara atau ASEAN ini adalah yang paling aman dan paling stabil.

“ASEAN ini juga adalah rantau yang kita faham akan menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia. Bukan sahaja melalui saiz populasi, tetapi mengikut keragaman budaya, agama dan bangsa yang pelbagai,” katanya.

Lebih sebulan menjawat tugas KP Penyiaran, perlantikan Ashwad yang berasal dari Alor Setar. Kedah menggantikan Suhaimi berkuatkuasa mulai 23 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top