am@hmetro.com.my
Pontian: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 6.4 kilogram (kg) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), syabu dan ketamin, bulan lalu.
Tertuduh, Lau Keat Lim, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan kes mengedar dadah dibacakan di hadapan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki.
Bagi pertuduhan pertama, Lau didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu MDMA dengan berat kasar sebanyak 6,404.16 gram (6.40 kg).
Dia turut didakwa dengan tiga pertuduhan lagi iaitu memiliki dadah jenis syabu masing-masing dengan berat kasar 20.04 gram dan 1.06 gram serta 5.66 gram ketamin.
Namun, Lau mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan memiliki dadah berkenaan.
Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini, kira-kira jam 6.10 petang, 21 Mei lalu.
Bagi kesalahan mengedar dadah, Lau didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup maksimum 40 tahun, dan 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan memiliki dadah pula, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosley, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh mengadu tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, menyebabkan majistret mengarahkan jurubahasa membacakan semula kesemua pertuduhan berkenaan.
Tertuduh kemudian berpuas hati dan memahami ketiga-tiga pertuduhan berkenaan sebelum mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan susulan kesalahan mengedar dadah membawa hukuman mati.
Mahkamah kemudian memerintahkan tiada sebarang jaminan diberikan ke atas tertuduh.
Tertuduh juga diarahkan melantik peguam bagi menghadapi perbicaraan kes berkenaan.
Majistret menetapkan sebutan semula ketiga-tiga kes berkenaan pada 5 Ogos depan bagi penyediaan laporan kimia.
Pada 25 Mei lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, dilaporkan berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas polis merampas lebih 6.04 kg atau 6,404.16 gram pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.07 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd