Penganggur didakwa ugut bunuh adik guna pisau

Penganggur didakwa ugut bunuh adik guna pisau

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengugut bunuh adik kandungnya menggunakan pisau, minggu lalu.

Tertuduh, K Charaniyathevan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut pertuduhan, Charaniyathevan didakwa menakutkan secara jenayah terhadap adik lelaki berusia 22 tahun dengan cara meletakkan pisau di leher dan menyatakan secara lisan ingin membunuh adiknya itu.

Perbuatan dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan 6 Off Jalan Genting Kelang, Setapak di sini, pada jam 4.49 pagi, 21 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami masalah mental dan tekanan perasaan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa yang mengendalikan kes memaklumkan tiada pengesahan mengenai kesihatannya itu dan memohon tertuduh dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke hospital untuk pemeriksaan psikiatri dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 April depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top