Penganggur ditahan di belakang sekolah ketika mahu serah 18,000 pil yaba kepada pelanggan

Penganggur ditahan di belakang sekolah ketika mahu serah 18,000 pil yaba kepada pelanggan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang penganggur yang sedang menunggu pelanggan untuk menyerahkan 18,000 pil yaba bernilai RM165,000 ditahan polis di belakang sebuah sekolah di Kota Jembal, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 29 tahun yang turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau ditahan jam 7.30 malam, oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, polis turut merampas wang RM1,500 daripada suspek.

“Ketika ditahan, suspek berada di atas motosikal dan sedang menunggu pelanggan.

“Suspek mula aktif sejak awal tahun ini dan hasil ujian air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis Benzo. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sekiranya dadah itu terlepas, ia boleh digunakan kira-kira 18,000 penagih,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata, bermula 29 Oktober sehingga semalam, pihaknya menahan 663 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Ops Tapis Bersepadu.

Katanya, tangkapan itu membabitkan 628 penduduk tempatan dan 35 individu warga asing.

“Kami turut merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM4,877,344,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top