Penganggur ditahan rogol anak tiri berusia 10 tahun

Penganggur ditahan rogol anak tiri berusia 10 tahun

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan seorang penganggur di sebuah kampung di daerah Kuala Nerus dekat sini selepas dipercayai merogol anak tirinya yang berusia 10 tahun sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, suspek yang berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.50 petang di rumahnya pada Isnin lalu.

Menurut beliau, tangkapan itu susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh salah seorang guru mangsa di Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus pada pukul 10.30 pagi hari sama.

“Bertindak atas laporan itu, pihak polis menahan suspek dan siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kes ugutan yang mendatangkan kecederaan.

“Perbuatan terkutuk dipercayai dilakukan suspek sejak setahun yang lalu dan pihak polis sedang giat meneruskan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, suspek kini direman selama tujuh hari bermula pada 25 Julai lalu sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSZN) di sini untuk menjalani pemeriksaan dan siasatan terperinci masih dijalankan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE