Penganggur mengaku kelar leher isteri kerana cemburu

Penganggur mengaku kelar leher isteri kerana cemburu

am@hmetro.com.my

Kluang: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh isteri dengan mengelar leher menggunakan pisau berpunca daripada cemburu terhadap wanita itu, awal bulan ini.

Tertuduh, Ei Jean Yee, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat cuba membunuh isterinya berusia 48 tahun dengan mengelar leher, tangan dan bahu mangsa menggunakan sebilah pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Muhibbah, di sini, pada jam 9.31 malam, 4 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Ramizah memberitahu mahkamah pihaknya tidak menawarkan jaminan dan memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi pemeriksaan psikiatrik.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan kes disebut semula pada 10 April ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top