Penganggur, pembantu kedai didenda RM5,000 kerana mencuri

Penganggur, pembantu kedai didenda RM5,000 kerana mencuri

MELAKA – Dua sahabat masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan dan wang tunai milik seorang lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman selepas Affendee Haron dan Mohammad Nizam Said yang berusia 30 tahun menukar pengakuan bersalah bagi pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri beg, telefon bimbit Redmi 9S, kad Hong Leong Bank, kad Public Bank, kad Maybank dan wang tunai berjumlah RM650 milik Lim Sian Yik, 40.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bukit Serindit, Taman Bukit Serindit di sini kira-kira pukul 6.15 petang, 10 Februari 2021.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal kerana kerugian dialami mangsa dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Peguam, Datuk Aravindhakshan MNV Pillai dan Faathir Imran Firdaus yang mewakili Affendee dan Mohammad Nizam bagaimanapun merayu anak guam mereka tidak dipenjarakan sebaliknya dikenakan denda ringan.

Hujah mereka, Affendee hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan yang perlu menyara anak perempuan berusia setahun selepas isterinya melarikan diri manakala Mohammad Nizam pula penganggur namun perlu menyara isteri dan anak berusia lima tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri memerintahkan masing-masing tertuduh didenda RM5,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.