am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang nelayan, 8 Januari lalu.
Mohd Rezuan Ab Jalil, 41, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian Rodzi Mohd Tahir, 47, di hadapan Masjid Mini Haji Othman, Kuala Muda, Penaga dekat sini, antara jam 6.30 pagi hingga 6.25 petang, 8 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan menawarkan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali.
Nor Azah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh menuruti syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 21 Februari depan.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima panggilan daripada Hospital Kepala Batas (HKB) memaklumkan seorang lelaki 47 tahun dalam keadaan parah akibat ditikam di bahagian rusuk kiri.
Mangsa dikatakan dibawa ke hospital itu oleh ahli keluarganya selepas ditikam suspek menggunakan sebilah pisau susulan pertengkaran mulut antara mereka.
Mangsa meninggal dunia selepas lebih 10 jam dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




