Penganjur Konsert Pentas RadjaWali mohon maaf, ini penjelasannya

Penganjur Konsert Pentas RadjaWali mohon maaf, ini penjelasannya

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penganjur Konsert Pentas RadjaWali di Idea Live Arena (Petaling Jaya) tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik insiden kekecohan apabila persembahan Wali Band terpaksa dihentikan awal, malam tadi.

Jurucakap mewakili Impian Al Fateh Sdn Bhd, GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) berkata, konsert dimulakan lewat dari jadual asal bagi menghormati waktu solat Isyak.

“Memandangkan lokasi konsert di Idea Live Arena dikelilingi kawasan kediaman dan masjid, maka keputusan itu diambil. Kami tidak mahu memulakan konsert ketika azan sedang berkumandang atau ketika jemaah sedang bersolat.

“Waktu Isyak masuk sekitar jam 8.30 malam dan selesai solat kira-kira 8.40 malam menyebabkan kami mengambil keputusan untuk memulakan acara pada jam 8.50 malam (semalam).

“Ia bukan kelewatan yang disengajakan, tetapi satu penghormatan kepada sensitiviti agama dan masyarakat setempat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Jurucakap terbabit berkata, pihaknya berusaha berunding dengan pemilik premis dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberi peluang Wali Band menyampaikan lagu terakhir buat peminat.

“Kami mengakui permit hiburan ‘indoor’ sah sehingga jam 1 pagi, manakala permit venue hanya sah sehingga jam 12 tengah malam, tetapi persembahan boleh dilanjutkan atas persepakatan bersama.

“Justeru, kami memohon kelonggaran masa sehingga 12.30 tengah malam bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan selain sedia menanggung risiko dan kehilangan deposit RM20,000 atau didenda.

“Namun, pengurusan Idea Live Arena meminta surat kebenaran bertulis berserta cop rasmi MBPJ dan kami anggap ia adalah permintaan yang mustahil untuk dipenuhi pada waktu itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya terus berbincang dan mencapa persetujuan lisan bagi membolehkan Wali Band menyampaikan lagu terakhir sebelum menutup pentas.

“Kami mendapat persetujuan wakil venue untuk satu lagu terakhir dan memaklumkan kepada vokalis Wali Band agar mengumumkan lagu seterusnya adalah lagu terakhir dan membuat penutup.

“”Malangnya, sebaik sahaja lagu yang sedang dimainkan tamat, pihak venue terus mematikan sistem bunyi tanpa membenarkan artis membuat pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton.

“Tindakan inilah yang menyebabkan kekeliruan dan kemarahan peminat. Kami memohon maaf kepada semua peminat yang hadir atas insiden yang tidak diingini itu,” katanya.

Terdahulu, keghairahan peminat yang sedang menikmati persembahan Wali Band terganggu apabila dihentikan kira-kira jam 12 tengah malam sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati.

Situasi terbabit berlaku ketika Wali Band sedang mendendangkan lagu Ada Gajah Di Balik Batu, sebelum pentas digelapkan secara tiba-tiba sehingga ada peminat menyangka kemungkinan ‘prank’.

Dewan Idea Live Arena juga bertukar menjadi riuh dan gamat berikutan Wali Band baru menyampaikan lagu ketujuh daripada 14 lagu yang sepatutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top