Penganjur ‘Nasi Kandaq Fest 2.0’ Jawab Tuduhan Masterchef Indonesia Yang Mendakwa Nasi Kandar Malaysia Berpasir – “Saya Rasa Bangga Kerana…”

Penganjur ‘Nasi Kandaq Fest 2.0’ Jawab Tuduhan Masterchef Indonesia Yang Mendakwa Nasi Kandar Malaysia Berpasir – “Saya Rasa Bangga Kerana…”

Timbul polemik di laman sosial mengenai rasa sebenar hidangan popular Malaysia, nasi kandar.

Perdebatan antara warganet mula hangat selepas pemenang Masterchef Indonesia musim kelima, Stefani Horison atau Fani yang mendakwa rasa nasi kandar di Malaysia berpasir ketika ditemu bual oleh YouTuber popular bernama Boengkoes.

Boengkoes mengunjungi restoran milik Fani di Tangerang, Indonesia yang menjual pelbagai hidangan popular Malaysia seperti nasi kandar, mi kari wantan ayam, panmee dan cendol durian.

Baru sahaja menjual hidangan nasi kandar di restoran miliknya, Fani mendakwa rasa nasi kandar di Malaysia biasa dan berpasir.

Susulan dakwaan terbabit, netizen dua negara mula berbalah mengenai rasa nasi kandar dua negara ini sehingga wujudnya dakwaan ‘claim’.

Mengulas dakwaan terbabit, penganjur bersama Nasi Kandaq Fest 2.0, Adly Rizal berbangga kerana hidangan nasi kandar Malaysia rasanya lazat sehingha ramai yang memuji dan akhirnya timbulnya dakwaan ‘claim’ oleh warganet dua negara.

Adly yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies juga berharap menu nasi kandar digazetkan sebagai makanan warisan negara sebelum ada pihak menuntut dan menjadikan juadah itu sebagai masakan warisan negara lain.

“Macam mana pun, nasi kandar memang datang dari Malaysia, bermula di Hameediyah semenjak tahun 1907.

“Tapi saya amat berbangga kerana makanan nasi kandar sangat sedap, sehingga orang lain boleh ‘claim’, orang lain boleh kata best.

“Bukan nak kata nasi kandar sahaja, banyak makanan kita orang lain ‘claim’. Sebab itu kami mengadakan festival dengan Sunway Putra Mall, kami nak tunjuk kepada rakyat Malaysia, nasi kandar patut jadi warisan dan kita buktikan ke dunia, ini milik kita,” katanya.

Adly berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Nasi Kandaq Fest 2.0 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Harus hormat hidangan asal negara masing-masing

Dalam masa sama, susulan dakwaan nasi kandar Malaysia ‘berpasir’ oleh Fani, Adly mempersoalkan semula kenyataan itu.

Jelas Adly, sebagai negara yang hidup berjiran, kita perlu ada rasa hormat terhadap juadah atau menu asal dari negara masing-masing.

“Sebab kita berjiran, kita hormat menghormati, betul ke kita pernah makan nasi kandar ada pasir? Atau ini hanya satu permainan media di sana? Kita pun tak tahu. Itulah yang saya boleh katakan secara terhormat, saya tak nak berkelahi,” katanya.

Nasi Kandaq Fest 2.0 Kembali!

Selepas sukses dengan penganjuran kali pertama tahun lalu, Nasi Kandaq Festival 2.0 kembali lagi dan diadakan pada hari ini dan esok (21 dan 22 September 2024).

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Kuah Campur & Ayam Bawang… Jangan Lepaskan Peluang! Nasi Kandaq Festival 2.0 Bakal Berlangsung Hujung Minggu Ini

Ia satu-satunya festival nasi kandar yang menampilkan hidangan dari 11 penjual nasi kandar utama negara dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Ipoh di bawah satu bumbung di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.

11 ‘lejen’ nasi kandar yang terlibat ialah Restoran Yusuf, Relau (Pulau Pinang), Nasi Ganja Yong Suan (Ipoh), Nasi Kandar Kudu (KL), LC (Line Clear) Restoran (KL), Hameediyah (KL/ Pulau Pinang), Nasi Kandar Talam (Johor), Restoran Majeedia (Ipoh), Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park (Pulau Pinang) dan Restoran Jamal Mohamad atau Nasi Kandar Ketapang (Pulau Pinang).

Scroll to Top