Penganjuran 'Giveaway Gadis QS Official' oleh PDRM adalah palsu

Penganjuran 'Giveaway Gadis QS Official' oleh PDRM adalah palsu

Melaka: Penganjuran program “Giveaway Gadis QS Official” oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah palsu, kata Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata pihaknya mengesan perkara itu selepas laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat, yang menerima sekeping gambar daripada orang awam menerusi aplikasi WhatsApp berhubung penganjuran program tersebut pada 6.32 petang semalam.

“Ketua Polis Daerah Jasin sebelum itu menerima pesanan berkenaan daripada orang awam berkaitan penyebaran gambar mengandungi siaran media daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkaitan penganjuran program yang disyaki palsu.

“Siasatan polis mendapati kandungan yang terdapat dalam gambar dikirim menerusi aplikasi WhatsApp adalah palsu serta tidak benar dan Pengarah JPJKK Bukit Aman tidak pernah mengeluarkan sebarang siaran media berkaitan penganjuran program ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dzulkhairi berkata polis menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang penyebaran video, gambar serta berita tidak sahih yang diragui manakala semakan nombor telefon atau nombor akaun boleh dibuat menerusi laman sesawang Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my.

Aduan pula boleh dibuat melalui Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi menyekat sebarang transaksi kewangan sekiranya telah menjadi mangsa penipuan jenayah siber.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top