Pengantin tular dianiya mak andam, MUA Bellaz tampil nak ‘sponsor’ mekap semula

Sejak pagi tadi, tular di media sosial apabila seorang wanita meluahkan rasa kesal terhadap mak andam perkahwinannya kerana memberikan servis yang sangat mengecewakan.

Lebih menyakitkan hati, pihak butik perkahwinan tersebut langsung tidak dapat menerima teguran dan mengabaikan mesej yang dihantar.

Perkongsian tersebut tular di media sosial sehingga seorang jurumekap profesional atau MUA yang popular di media sosial dikenali sebagai MUA Bellaz tampil mahu membantu dengan memekapkan semula wanita tersebut.

Menurut perkongsian Bellaz atau nama sebenarnya Nabilah Zulyadaini, dia mahu menaja mekap serta pakaian pengantin yang lebih cantik untuk mengembalikan keceriaan pengantin baru itu selepas dianiya dan mengalami kerugian akibat mak andam.

Pelawaan daripada Bellaz disambut dengan hati terbuka oleh wanita itu yang menggunakan nama akaun Facebook Yana Nazaruddin.

Dia mengucapkan terima kasih dan menjelaskan akan menemui Bellaz sekiranya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilonggarkan dan aktiviti merentas negeri dibenarkan semula.

Selain daripada itu, Yana turut menyertakan bukti tentang luahannya berkenaan butik pengantin yang ditularkan sebelum ini.

Dia juga menceritakan kembali kejadian yang membuatkan dia sekeluarga berasa terkilan dengan layanan pihak butik dan perkhidmatan yang disediakan sehingga merosakkan hari bahagiannya tempoh hari.

Selain daripada itu, Yana Nazaruddin juga turut berterima kasih kepada semua warganet yang prihatin terhadapnya serta para jurumekap profesional yang sudi menawarkan pakej mekap semula kepadanya bagi memastikan dia memperoleh mood pengantin baru yang telah ‘dirosakkan’ oleh pihak butik pengantin yang dibayarnya sebelum ini.

“…terima kasih jugak kepada Mua2 yg sudi sponser makeup.” -tulisnya

Sumber: Yana Nazruddin, Nabilah Zulyadaini