Pengarah filem calon tunggal PSM

Pengarah filem calon tunggal PSM

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Parti Sosial Malaysia (PSM) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan meletakkan calon tunggalnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

PSM akan diwakili di R Arangkannal, 46, anak jati Skudai dan berkelulusan Universiti Sains Malaysia dalam bidang Perfileman dan Sains Politik.

Arangkannal ataupun Ara menawarkan khidmatnya kepada penduduk dengan tumpuan kepada tiga isu iaitu mengurangkan kos hidup rakyat, perumahan mampu milik dan program jaminan kerja rakyat di Johor.

“PSM bukan sebuah parti berasaskan kaum, sebaliknya ia adalah parti yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum. Saya berjanji untuk menentang isu-isu diskriminasi perkauman di negara ini, termasuklah perkauman terhadap golongan imigran,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PSM S Arulchelvam dan Setiausaha Agung PSM A Sivarajan.

Arangkannal berkata, walaupun kali pertama kali bertanding dalam PRN Johor, PSM yakin akan diterima kerana sudah 15 tahun bertapak di kawasan itu dan terbabit dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Ara seorang pengarah filem yang pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa turut melakukan ikrar Anti Rasisme iaitu tidak akan memainkan apa jua isu politik perkauman demi meraih undi atau sokongan daripada rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top