BUTTERWORTH : Seorang pengarah jabatan kerajaan di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan jawatan untuk suapan bagi suaminya pada 2017.
Tertuduh, Hanita Ahmad, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai Gred S41 di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Seberang Perai Utara bagi memberi suapan kepada suaminya, Md. Khashim Yahaya, dengan mengesyorkan perniagaan Tegas Enterprise.
Ia untuk kerja ‘Perkhidmatan Makan dan Minum untuk Program Skim Rondaan Sukarela Daerah Seberang Perai Utara 2017’ yang bernilai RM3,840.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Seberang Perai Utara pada 14 Julai 2017.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd. Sanusi mencadangkan agar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin diberi serta mahu tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.
Bagaimanapun, Hanita yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang lebih rendah dikenakan atas alasan dia perlu menyara anak, suami dan ibu selain masih berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Suami sakit dan tidak mempunyai pendapatan sudah setahun. Saya juga perlu menanggung ibu yang berkerusi roda serta menanggung kos-kos lain termasuk pinjaman kereta dan bil-bil lain.
“Selain itu, saya juga belum didapati bersalah. Justeru, saya mohon agar jaminan minimum dikenakan,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pendakwa raya. Sebutan semula kes ditetapkan 30 September depan sementara menunggu lantikan peguam.-UTUSAN