harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Kanan Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zainul Darus bersara hari ini selepas lebih tiga dekad berkhidmat.
Zainul yang berkhidmat selama 33 tahun dan tujuh bulan berkata jawatan yang dipegang bukan sesuatu yang perlu dibanggakan sebaliknya satu tanggungjawab yang berat perlu dipikul.
“Dengan kerjasama yang baik daripada pengurusan tertinggi SPRM, bantuan dan sokongan semua pegawai, segala rintangan dapat diatasi dengan mudah.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki atas kepercayaan dan keyakinan melantik saya ke jawatan ini.
“Kepada pegawai SPRM yang masih berkhidmat, berkhidmatlah dengan sepenuh jiwa dan raga kepada organisasi berpandukan lunas undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Sempena Persaraan Pengarah Kanan Siasatan di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan setiap pegawai dan anggota SPRM supaya berpegang teguh kepada prinsip keadilan, tegas dan amanah.
Terdahulu turut diadakan Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas kepada Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh.
Untuk rekod Zainul mula berkhidmat sejak 1 Julai 1992 dan menggalas tugas sebagai Pengarah Kanan Siasatan SPRM, dan pernah bertugas di Badan Pencegah Rasuah (BPR) Johor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Pegawai Integriti di Johor Corporation (JCORP) serta Ketua Unit Integriti di Kementerian Kewangan (MOF).
© New Straits Times Press (M) Bhd




