Pengarah syarikat, bekas penasihat jualan runcit bank ditahan, disyaki terima rasuah RM26,000

Pengarah syarikat, bekas penasihat jualan runcit bank ditahan, disyaki terima rasuah RM26,000

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pengarah syarikat dan seorang bekas penasihat jualan runcit sebuah bank di ibu negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM26,000 sebagai dorongan membantu, menyemak dan memasukkan permohonan pembiayaan peribadi milik pelanggan ke dalam ‘Financing Origination System’ (FOS) sebelum proses kelulusan bayaran.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2022 dan 2023 di mana kedua-dua pengarah syarikat terbabit bersubahat bersama penasihat jualan runcit untuk memperoleh suapan berjumlah kira-kira RM26,000.

“Semua suspek disyaki menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank milik penasihat jualan runcit terbabit dari akaun syarikat salah seorang pengarah syarikat terbabit,” katanya.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga 15 Jun ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top