am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana disyaki terbabit rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroninya mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan berkenaan bertugas.
Kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari ini dengan perintah reman itu dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, hari ini.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 6.50 petang dan 9.40 malam, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, Perak.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sejak 2017 sehingga 2020.
“Siasatan awal turut mendapati suspek yang juga pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya di sini, malam ini.
Katanya, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang daripada sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




