bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan lima kanak-kanak etnik Rohingya yang dieksploitasi sebagai pekerja dalam serbuan ke atas sebuah kilang elektronik di Kawasan Perusahaan Batu 17, Rawang, kelmarin.
Serbuan susulan hasil risikan Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang mendapati kilang terbabit menggaji pekerja bawah umur.
Dalam serbuan pada jam 2.10 petang itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat lelaki warga Jepun berusia 67 tahun.
Turut ditahan adalah serta seorang lelaki tempatan yang juga pengurus sumber manusia berusia 55 tahun dan seorang kerani akaun wanita berusia 53 tahun.
Serbuan dijalankan pasukan D3 JSJ Bukit Aman dibantu Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata lima kanak-kanak termasuk tiga perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun diselamatkan menerusi serbuan itu.
“Siasatan mendapati kesemua mangsa adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
“Mereka sudah bekerja di kilang itu selama dua tahun lapan bulan dengan gaji RM51 sehari yang dibayar setiap bulan secara tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 13 keping kad perakam waktu dan dua helai jadual pembayaran gaji menerusi serbuan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata semakan mendapat kilang berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu di bawah seliaan pengarah syarikat warga Jepun berkenaan.
“Seramai 165 pekerja terdiri daripada 46 warga tempatan dan 119 warga Myanmar diperiksa dalam serbuan itu.
“Semua pekerja termasuk lima kanak-kanak itu tinggal di rumah sendiri di sekitar Selayang dan pergi ke kilang untuk bekerja dengan menaiki van yang disewa sendiri oleh mereka,” katanya.
Fadil berkata, kilang itu beroperasi selama 21 jam sehari dengan pecahan dua syif bekerja iaitu jam 8 pagi hingga jam 7 malam dan jam 9 malam hingga 7 pagi.
Kesemua tangkapan, mangsa dan barang rampasan dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)2007 dan Seksyen 14 akta sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd