Pengarah syarikat rugi lebih RM800,000 ditipu pelaburan palsu

Pengarah syarikat rugi lebih RM800,000 ditipu pelaburan palsu

am@hmetro.com.my

Kluang: Gara-gara tertarik dengan tawaran lumayan, pengarah syarikat kedai perkakas rumah kerugian lebih RM800,000 kerana terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Mangsa lelaki berusia 56 tahun terjebak dengan aktiviti terbabit pada Mac lalu selepas terlihat iklan pelaburan di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan terbabit diminta memuat naik satu aplikasi pelaburan.

Menurutnya, mangsa membuat pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM829,705 ke dalam lima akaun bank berbeza secara berperingkat dari 5 Jun sehingga 9 Julai lalu.

“Mangsa kemudian mendapati terdapat keuntungan berjumlah kira-kira RM4.66 juta dalam aplikasi pelaburan terbabit, bagaimanapun diminta membuat pembayaran sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan diperolehi.

“Namun mangsa tidak mahu membayar dan mula sedar dia ditipu apabila tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top