Pengarah syarikat rugi RM1.4 juta akibat penipuan 'online'

Pengarah syarikat rugi RM1.4 juta akibat penipuan 'online'

am@hmetro.com.my

Ipoh: Pengarah syarikat kerugian RM1.4 juta akibat diperdaya sindiket penipuan pelaburan tidak wujud selepas ditawarkan sebagai rakan kongsi berkaitan pelaburan perdagangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan diterima daripada mangsa yang juga lelaki warga emas berusia 75 tahun, Ahad lalu, dan mangsa mendakwa ditipu sindiket itu yang beroperasi secara dalam talian.

Katanya, mangsa mula dihubungi seorang wanita yang juga ahli sindiket itu sejak 15 April lalu yang menawarkan mangsa supaya menjadi rakan kongsi satu syarikat untuk membeli barang daripada satu syarikat lagi yang berada di luar negara.

Menurutnya, mangsa bersetuju dengan tawaran sindiket itu selepas membuat semakan status syarikat itu yang mendapati ia sudah beroperasi sejak 1989.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diminta untuk muat turun satu aplikasi, di mana mangsa akan memperoleh 30 peratus komisen jika pelanggan membeli barang namun memerlukan mangsa membayar harga barangan itu.

“Pengadu (mangsa) kemudian membayar wang pendahuluan sebanyak RM22,122 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke akaun Maybank atas nama sebuah syarikat.

“Percaya dengan pulangan itu, pengadu memasukkan wang keseluruhannya berjumlah RM1.4 juta (RM1,470,734) ke dalam enam akaun bank berbeza atas nama syarikat itu, secara pindahan dalam talian dan juga hadir ke kaunter bank,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya lagi, mangsa akhirnya sedar ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan terhadap wang itu bagi tempoh bermula 17 April hingga 16 Mei 2025.

Noor Hisam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top