fatin.farhana@bh.com.my
CANNES: Hampir tiga dekad menanti pengarah wanita merangkul anugerah tertinggi, Palme d’Or pada Festival Filem Cannes selepas kejayaan Jane Champion menerusi filem The Piano pada 1993, sutradara, Julia Ducournau punya banyak sebab untuk merasa sempurna.
Pada edisi ke-74 Festival Filem Cannes di sini, semalam, Ducournau mencipta sejarah atas kejayaan filem Titane yang berkisar kisah khayalan liar seorang pembunuh bersiri yang memiliki keinginan seksual pelik.
Ducournau yang juga rakyat Perancis, tidak menduga meraih pengiktirafan juri festival filem berprestij itu, lapor agensi.
“Saya minta maaf, saya terus menggelengkan kepala saya. Adakah ini benar?
“Saya tidak tahu mengapa saya bertutur dalam Bahasa Inggeris sekarang sebab saya orang Perancis. Malam ini (kelmarin) adalah malam yang sempurna kerana sebelum ini, ia tidak sempurna.
“Saya tahu filem saya tidak sempurna. Tetapi saya fikir tiada filem yang sempurna di mata orang yang menghasilkannya.
“Anda boleh mengatakan filem saya mengerikan,” katanya, lapor agensi.
Mengucapkan terima kasih kepada juri atas penerimaan mereka terhadap filem arahannya itu, Ducournau berharap lebih ramai pengarah wanita akan menyusuli kejayaannya di pentas itu.
“Saya harap akan ada (pengarah wanita) ketiga, keempat dan kelima (yang menerima trofi Palme d’Or),” katanya.
Pada edisi kali ini, empat daripada 24 filem dipertandingkan untuk merebut trofi Palme d’Or dihasilkan pengarah wanita,
Pada malam anugerah yang dikendalikan secara norma baharu itu, trofi Grand Prix kedua dimenangi filem A Hero yang dihasilkan Asghar Farhadil dari Iran dan Compartment No. 6 oleh Juho Kuosmanen.
Selain itu, Leos Carax turut diumumkan Pengarah Terbaik bagi filem Annette.
Pengarah dari Jepun, Ryusuke Hamaguchi pula memenangi anugerah Layar Skrin Terbaik menerusi filem adaptasi kisah pendek dihasilkan penulis, Haruki Murakam berjudul Drive My Car.
Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Renate Reinsve menerusi filem The Worst Person in the World. Caleb Landry Jones yang membintangi filem Australia, Nitram, pula muncul pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik.
Anugerah Juri pula diberi kepada filem Ahead’s Knee oleh Nadav Lapid dari Israel dan Memoria yang dihasilkan Apichatpong Weerasethakul dari Thailand. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




