bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Pengarah sebuah yayasan di Terengganu direman tujuh hari kerana menerima suapan berkaitan projek usaha sama pengeluaran pelitup muka dianggarkan bernilai RM9 juta.
Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan daripada pengarah syarikat sebagai balasan mencadangkan pelaburan usaha sama dengan syarikat itu untuk pengeluaran pelitup muka.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Mac depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Suspek yang memakai baju lokap SPRM ditahan di rumahnya pada jam 4.30 petang semalam.
Semalam, seorang penjawat awam dan dua pengarah syarikat direman tujuh hari sehingga 29 Mac bagi projek sama.
Penjawat awam berusia 59 tahun dan dua pengarah syarikat berusia 49 dan 51 tahun itu dipercayai menerima dan memberi suapan sebagai balasan mencadangkan pelaburan itu dalam usaha sama dengan syarikat berkenaan untuk pengeluaran produk pelitup muka tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




