Kuala Lumpur : Penyanyi dan penulis lagu, Amanda Imani, dianugerahkan BrandLaureate BrandLeadership Award 2025–2026 bagi kategori Muzik Kontemporari sebagai pengiktirafan terhadap pengaruhnya dalam industri seni tanah air.
Anugerah berprestij itu mengiktiraf peranannya bukan sahaja sebagai penggiat muzik, malah figura yang memperjuangkan pembangunan bakat kreatif hingga ke peringkat global.
Amanda berkata, Malaysia dan rantau ini memiliki bakat luar biasa, namun kekangan utama adalah akses kepada platform, bimbingan serta peluang antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan mampan memerlukan integriti seni, strategi jangka panjang dan sistem sokongan yang kukuh, bukan sekadar bergantung kepada populariti sementara.
“Platform hari ini bukan sekadar pentas, tetapi jambatan untuk artis bergerak jauh tanpa kehilangan identiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Amanda turut melihat kepimpinan dalam seni sebagai tanggungjawab terhadap budaya, penonton dan kelangsungan industri kreatif.
“Artis hari ini adalah jenama, perniagaan dan penjaga budaya dalam satu masa,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan pendidikan, pemilikan karya dan literasi strategi agar artis dapat berkarya dengan lebih bebas serta yakin.
Bagi Amanda, pengiktirafan global tidak bermakna perlu mengorbankan jati diri, sebaliknya membawa cerita tempatan ke pentas dunia dengan lebih yakin dan bermaruah.
Amanda yang memiliki dua ijazah serta Sijil Pengeluaran Muzik dari UCLA, pernah membuat persembahan di Cannes, Los Angeles dan beberapa negara lain.
Selain aktif dalam kerjaya seni, beliau turut terbabit dalam kerja kebajikan termasuk menyokong Save Wild Tigers dan Make-A-Wish Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




