Taipei: King Liu, pengasas syarikat pengeluar basikal Taiwan Giant Manufacturing Co, dan individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘penggerak’ budaya berbasikal, meninggal dunia 16 Februari pada usia 91 tahun, menurut pengumuman syarikat itu.
Liu menubuhkan Giant pada tahun 1972 di kampung halamannya di Taichung, sebuah hab pembuatan di tengah Taiwan, dengan menghasilkan basikal untuk jenama luar negara sebelum syarikat itu melancarkan jenamanya sendiri pada 1981.
Kini, Giant antara pengeluar basikal terbesar di dunia, mencatat jualan lebih AS$2 bilion (kira-kira RM7.82 bilion) setahun dan menjual jutaan basikal setiap tahun.
Liu meninggal dunia pada awal 16 Februari, menurut kenyataan Giant Group, yang menyifatkannya sebagai ‘penyokong tegar sepanjang hayat’ kepada kuasa kayuhan basikal.
“Sepanjang hidupnya, Liu menumpukan dirinya kepada basikal kerana beliau percaya basikal bukan sekadar satu perniagaan, tetapi satu cara hidup yang bermakna,” kata Giant.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga kaya di tengah Taiwan pada 2 Julai 1934, Liu pernah bekerja dalam syarikat perdagangan dan pembuatan makanan milik bapanya, namun tidak lama kemudian berhasrat untuk berdikari.
Beliau pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan, termasuk mengangkut kargo dengan lori, mengimport makanan ikan dan juga menternak belut.
Pembabitannya dalam industri berbasikal bermula hasil cadangan seorang rakan semasa sesi percambahan idea untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Bagi memahami produknya dengan lebih mendalam, Liu berbasikal ke tempat kerja sepanjang beberapa tahun pertama penubuhan Giant, namun tabiat itu semakin berkurangan apabila syarikat berkembang.
Giant membangunkan jenamanya sendiri, ketika label ‘Buatan Taiwan’ masih membawa stigma barangan murah dan berkualiti rendah, dan aktiviti berbasikal di peringkat tempatan pula dilihat sebagai pengangkutan golongan miskin.
Syarikat itu kemudian beralih kepada pengeluaran basikal berkualiti tinggi dan kini mempromosikan berbasikal sebagai satu aktiviti rekreasi dan sukan.
Pada 2016, Liu berkata, beliau mula berbasikal secara serius pada usia 73 tahun selepas bertahun-tahun tidak mengayuh basikal.
“Saya seorang lelaki tua yang sedang mempertimbangkan persaraan, tetapi secara ironinya, saya menemui diri saya yang baharu,” katanya mengenai kayuhan besar pertamanya sejauh lebih 900 kilometer mengelilingi pesisir pantai pulau yang tidak rata itu.
“Ia meningkatkan keyakinan diri, kesihatan dan saya jadi lebih sanggup belajar perkara baharu serta menghadapi cabaran baharu,” katanya.
Liu berkata, beliau melihat dirinya sebagai seorang ‘penggerak’ yang menyebarkan budaya berbasikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




