JAKARTA – Polis menahan pengasas sebuah pondok agama di Pati, Jawa Tengah selepas tiga hari diburu berhubung dakwaan melakukan serangan seksual terhadap puluhan pelajar perempuan.
Suspek dikenali sebagai Ashari ditahan pasukan Siasatan Jenayah Polis Pati di lokasi persembunyiannya di Wonogiri, Jawa Tengah pada awal pagi Khamis.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Pati, Kompol Dika Hadiyan Widya Wiratama mengesahkan penahanan tersebut.
“Ya, individu berkenaan sudah kami tangkap,” katanya ringkas ketika dihubungi media.
Menurut polis, suspek dipercayai berpindah-randah bagi mengelak dikesan, termasuk ke beberapa lokasi di Jawa Barat, Jakarta sebelum kembali semula ke Jawa Tengah.
Dalam rakaman yang tular, suspek dilihat menundukkan kepala ketika dikawal ketat anggota polis.
Kes itu mencetuskan perhatian umum selepas suspek didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengasas pondok agama untuk mempengaruhi mangsa.
Berdasarkan siasatan awal, polis mendakwa suspek menggunakan alasan ketaatan pelajar kepada guru agama untuk menekan pelajar perempuan supaya akur terhadap kehendaknya.
Kompol Dika berkata, antara modus yang disiasat termasuk penyalahgunaan ajaran agama bagi mewajibkan pelajar perempuan patuh sepenuhnya kepada guru tanpa syarat.
Suspek juga didakwa menggunakan latar belakang keturunan tertentu bagi mengukuhkan pengaruhnya terhadap mangsa.
Peguam mewakili mangsa, Ali Yusron mendakwa jumlah mangsa berkemungkinan melebihi 50 pelajar perempuan.
Menurutnya, terdapat mangsa yang didakwa hamil akibat perbuatan suspek, selain dakwaan perkahwinan paksa diatur bagi menutup kes tersebut.
“Kami mengesyaki mangsanya jauh lebih ramai, mencecah puluhan orang.
“Ada yang hamil, namun perbuatan itu ditutup dengan cara mengahwinkan mangsa secara paksa dengan pelajar lelaki lain bagi memutuskan kaitan dengan suspek,” katanya.
Beliau turut mendakwa terdapat anak kepada seorang mangsa yang sudah dilahirkan dan masih berada di lingkungan pondok tersebut.
Polis menyiasat Ashari mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk undang-undang perlindungan kanak-kanak yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara.
Suspek turut disiasat mengikut undang-undang berkaitan jenayah keganasan seksual, yang memperuntukkan hukuman tambahan sehingga 12 tahun penjara.
Sementara itu, Pemangku Ketua Daerah Pati, Risma Ardhi Chandra berkata, pihaknya telah berkoordinasi dengan kerajaan pusat bagi mencadangkan supaya lesen operasi pondok tersebut dibatalkan secara kekal.
Menurutnya, langkah itu penting sebagai pengajaran serta bagi memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak di institusi pendidikan agama.
Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Pati untuk siasatan lanjut, termasuk bagi mengenal pasti kemungkinan wujud suspek lain atau mangsa tambahan yang belum tampil membuat laporan. – Agensi



