Pengasuh aniaya bayi 15 bulan ditahan, perbuatan terbongkar melalui CCTV

Pengasuh aniaya bayi 15 bulan ditahan, perbuatan terbongkar melalui CCTV

am@hmetro.com.my

Tawau: Luluh hati seorang ibu apabila bayi perempuannya berusia 15 bulan dipercayai dianiaya pengasuh selepas perbuatan itu terbongkar melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di Taman Semarak, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa selepas wanita itu mendakwa melihat rakaman CCTV yang memaparkan suspek bertindak tidak wajar terhadap anaknya ketika berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan.

Menurutnya, pengasuh terbabit yang juga wanita tempatan berusia 57 tahun sebelum ini dianggap seperti keluarga sendiri oleh mangsa, malah diupah menjaga kanak-kanak itu sejak kira-kira setahun lalu dengan bayaran RM450 sebulan.

“Wanita terbabit memaklumkan melihat sendiri perlakuan tidak sepatutnya terhadap anaknya menerusi rakaman CCTV ketika dia keluar bekerja.

“Rakaman itu turut menunjukkan beberapa tindakan tidak wajar yang dipercayai berlaku sepanjang kanak-kanak itu dijaga suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, susulan laporan dibuat di Balai Polis Tawau, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan bantuan anggota Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek.

“Hasil tindakan pantas, suspek ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top