Melancong ke pelbagai negara mungkin menjadi impian ramai. Namun, bagi Farhah Mohd. Sidek, 27, setiap perjalanan bukan sekadar percutian, sebaliknya amanah sebagai pengasuh antarabangsa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di setiap destinasi.
Jelajah dunia sebagai pengasuh antarabangsa
Hantaran video yang dikongsi Farhah Mohd. Sidek dalam media sosial mengenai rutin pekerjaannya sering mencuri perhatian ramai.
Mana tidaknya, video yang memaparkan dia mengembara ke luar negara bersama seorang kanak-kanak membuatkan ramai menyangka dia sekadar bercuti. Hakikatnya, itulah rutin sebagai pengasuh antarabangsa.
Di sebalik peluang mengelilingi dunia, kerjaya tersebut menuntut tanggungjawab besar, kesabaran yang tinggi serta kemahiran mengurus emosi dan keselamatan kanak-kanak dalam pelbagai situasi.
Bagi Farhah, perjalanan itu bermula daripada perkara yang cukup dekat dengan dirinya iaitu membesar dalam keluarga yang besar.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal yang berasal dari Kelantan itu merupakan anak ketiga daripada 12 orang adik-beradik di dalam keluarga yang mempunyai dua ibu.
Sejak kecil, dia sudah terbiasa membantu menjaga adik-adik, selain aktif sebagai sukarelawan menjaga kanak-kanak menerusi pelbagai program pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti komuniti.
Tanpa disedari, pengalaman yang dikumpul sejak usia muda itu menjadi asas kepada kerjaya yang akhirnya membawanya merentasi beberapa negara sebagai pengasuh antarabangsa.

Justeru, dapat mengubah tanggapan kerjaya pengasuh bukan sekadar hanya menjaga kanak-kanak, tetapi merupakan kerjaya profesional yang memerlukan ilmu, kemahiran dan kecekalan emosi.
Walaupun pernah mencuba pelbagai jenis pekerjaan termasuk pembantu tukang masak, pembantu doktor di klinik swasta, pekerja syarikat makanan dan minuman, jurujual serta menjalankan perniagaan sendiri sejak di bangku sekolah, minatnya terhadap penjagaan kanak-kanak tidak pernah pudar.
Pada 2021, Farhah mengikuti latihan profesional sebagai pengasuh sebelum mula menawarkan khidmat secara aktif melalui platform Sitly dan Kiddocare pada tahun berikutnya.
Menurutnya, keputusan itu bukan didorong oleh kesempitan hidup, sebaliknya oleh keinginan untuk berdikari dan membina kerjaya sendiri.
“Saya bukan berasal daripada keluarga yang susah, tetapi saya memang lebih suka berdikari dan bekerja untuk mempunyai pendapatan sendiri,” katanya kepada Seri.
Pernah kunjungi enam negara
Walaupun kini sudah menjejakkan kaki ke enam negara iaitu United Kingdom, Ireland, Dubai, Austria, Singapura dan Indonesia, Farhah mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bekerja di luar negara.
Malah sebelum bergelar pengasuh antarabangsa, dia tidak pernah memiliki pasport.
Namun, Farhah percaya setiap rezeki hadir melalui usaha yang disertai doa yang tidak pernah putus.
Sejak awal, dia sering memohon kepada Allah agar diberi peluang untuk melihat dunia, khususnya menjejakkan kaki ke London.

Tanpa disangka, London menjadi destinasi pertamanya sebagai pengasuh antarabangsa, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya sehingga membawanya ke beberapa negara lain.
“Saya melihatnya sebagai satu rezeki dan perancangan Allah yang sangat indah dalam hidup saya,” katanya.
Realiti di sebalik kerjaya
Di sebalik gambar-gambar indah ketika mengembara bersama keluarga majikan, realiti sebagai pengasuh antarabangsa tidak selalunya seperti yang disangka.
Pengalaman pertama bekerja di luar negara membuka matanya bahawa tidak semua keluarga memahami peranan, keperluan dan kebajikan seorang pengasuh profesional.
Menurutnya, ada ibu bapa yang menganggap pengasuh perlu sentiasa memenuhi setiap arahan tanpa mengambil kira waktu bekerja dan skop tugas yang telah dipersetujui.
Malah, terdapat juga situasi apabila keperluan asas seperti waktu rehat dan waktu solat tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Lebih memilukan, dia pernah berdepan situasi dipukul, dicubit dan digigit oleh kanak-kanak di hadapan ibu bapa mereka, namun keadaan tersebut tidak ditangani dengan baik.
Walaupun pengalaman tersebut meninggalkan kesan, Farhah memilih untuk menjadikannya sebagai proses pembelajaran yang mematangkan dirinya sebagai pengasuh profesional.
“Banyak perkara yang saya belajar tentang komunikasi, batas profesional dan kepentingan menjaga kebajikan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurut Farhah, antara salah faham yang sering berlaku ialah apabila ibu bapa mengharapkan pengasuh dapat membina keserasian dengan anak-anak sebaik sahaja sesi penjagaan bermula.
Hakikatnya, hubungan yang erat antara pengasuh dan kanak-kanak memerlukan masa, kesabaran serta kepercayaan untuk berkembang secara semula jadi.

Peranan pengasuh adalah membantu menjaga, membimbing dan menemani anak-anak, bukannya menggantikan ibu bapa.
Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang mengharapkan pengasuh menyediakan aktiviti pembelajaran lengkap seperti guru tadika.
“Tanggungjawab utama seorang pengasuh ialah memastikan keselamatan, kebajikan dan perkembangan emosi kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya.
Sepanjang berkhidmat dengan keluarga daripada pelbagai negara dan latar budaya, Farhah tidak pernah mengubah dirinya semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang lain.
Sebaliknya, dia percaya komunikasi yang jelas, sikap saling menghormati dan adab yang baik menjadi asas kepada hubungan kerja yang harmoni
“Saya menyesuaikan diri dengan menjadi diri saya sahaja. Apabila saya kehilangan identiti diri, saya juga kehilangan semangat untuk bekerja,” katanya.
Kekal tenang ketika kecemasan
Sepanjang kerjayanya, Farhah pernah berdepan pelbagai situasi cemas yang menguji ketenangan dan kecekapan dirinya.
Antara yang paling diingati ialah apabila seorang kanak-kanak di bawah jagaannya terjatuh daripada basikal sehingga mengalami kecederaan pada bahagian dagu.
Dalam situasi itu, dia tidak menghalang kanak-kanak tersebut daripada menangis kerana percaya ia reaksi semula jadi apabila seseorang berasa sakit.
Sebaliknya, dia memeluk dan menenangkan kanak-kanak itu sebelum membawanya mendapatkan bantuan daripada ibu bapanya.
Bagi Farhah, ketenangan orang dewasa memainkan peranan penting ketika berdepan kecemasan kerana emosi mereka mudah mempengaruhi tindak balas kanak-kanak.
Di sebalik cabaran, Farhah mengakui banyak detik manis yang membuatkan segala penat lelahnya terasa berbaloi.
Antara pengalaman yang paling bermakna ialah apabila diberi peluang bekerja sambil mengembara bersama sebuah keluarga elit di Eropah.

Walaupun pada awalnya berasa gementar, layanan yang diterima membuatkan dia berasa dihargai dan dihormati tanpa mengira status.
Hubungan yang baik antara ibu bapa, anak-anak dan pengasuh menjadi asas kepada suasana kerja yang positif dan saling mempercayai.
Selain itu, kepuasan sebenar sebagai pengasuh hadir apabila melihat perkembangan positif dalam diri kanak-kanak di bawah jagaannya, walaupun melalui perubahan kecil dalam rutin harian mereka.
Kerjaya yang wajar dihargai
Baginya, kerjaya pengasuh masih dipandang rendah kerana ramai menganggap tugas mereka sekadar menjaga kanak-kanak.
Hakikatnya, seorang pengasuh memikul amanah besar iaitu menjaga insan paling berharga dalam sesebuah keluarga, selain memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan emosi mereka.
Dia berharap masyarakat dapat memberikan penghargaan yang lebih tinggi terhadap kerjaya tersebut, termasuk menghormati masa, tenaga dan pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap pengasuh.
Ujarnya, di sebalik tanggungjawab menjaga anak orang lain, seorang pengasuh juga mempunyai keluarga sendiri yang menunggu kepulangan mereka setiap hari.

“Kami juga berharap masa, tenaga dan pengorbanan kami dihargai,” katanya.
Farhah turut menasihatkan mereka yang berminat menceburi bidang itu supaya tidak tergesa-gesa mengejar peluang hanya kerana terpengaruh dengan gaya hidup yang dilihat dalam media sosial, sebaliknya mengambil kira semua aspek yang berkaitan.




