am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), awal bulan ini.
Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, yang berpakaian baju belang biru putih serta berseluar gelap, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nur Farhana didakwa melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian bayi kepada Ummu Habibah Wahab, 29, di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya.
Kejadian didakwa berlaku antara jam 1 pagi hingga 4 pagi pada 9 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja tertuduh yang sebelum ini direman, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan.
Terdahulu, kedua-dua wanita berkenaan tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 8.45 pagi. Kedua-duanya dalam keadaan digari.
Dilaporkan bahawa mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemui tidak sedarkan diri di pusat penjagaan kanak-kanak 24 jam itu pada 9 Mac.
Bayi itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah, seorang jururawat yang bertugas syif malam, menerima panggilan yang menyatakan wajah anaknya bertukar menjadi biru.
Doktor melakukan bantuan pernafasan (CPR) selama satu jam, namun bayi itu tidak dapat diselamatkan.
Semalam, Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, bayi itu dipercayai maut akibat asfiksia (lemas akibat kekurangan oksigen).
Beliau berkata, pemeriksaan perubatan menunjukkan perkara itu sebagai punca kematian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




