Pengasuh tidur, dua kanak-kanak keluar rumah ditemukan di tepi jalan

Pengasuh tidur, dua kanak-kanak keluar rumah ditemukan di tepi jalan

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan selamat selepas keluar dari rumah ketika pengasuh sedang tidur di kediaman mereka hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata, Polis Daerah Kajang mengesahkan pada jam lebih kurang 11.57 pagi, menerima dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun daripada orang awam di Balai Polis Bangi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal kanak-kanak warga tempatan itu ditemukan oleh orang awam dalam keadaan baik di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa sebelum membawa mereka ke Balai Polis untuk tindakan lanjut.

“Pada jam 2 petang ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit dapat dihubungi dan hadir ke balai polis sebelum mangsa diserahkan semula kepada ibu bapanya dengan selamat.

“Hasil siasatan lanjut didapati kanak-kanak ini keluar dari rumah pengasuh tanpa pengetahuan ketika pengasuh sedang tidur sebelum kanak-kanak ditemui di tepi jalan kawasan berhampiran oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga keselamatan anak-anak yang masih di bawah umur supaya tidak berlaku kejadian berunsurkan pengabaian ke atas kanak-kanak.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini juga boleh disalurkan ke balai berhampiran atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nor Farahin Mohd Yatim di talian 017-3987188 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top