Pengawal keselamatan cerita detik cemas dilibas belalai gajah, hampir dipijak

Pengawal keselamatan cerita detik cemas dilibas belalai gajah, hampir dipijak

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani, Bandar Sri Perani, di sini berdepan detik cemas apabila diserang seekor gajah liar.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Ahmad, 62, nyaris maut apabila dilibas dengan belalai dan hampir dipijak oleh mamalia berkenaan di hadapan pintu masuk sekolah berkenaan.

Menceritakan detik menakutkan itu, Abdul Rahman berkata, ketika kejadian dia baharu memulakan tugas seperti biasa sebelum dikejutkan dengan kehadiran gajah dewasa dan bergading itu secara tiba-tiba dari arah belakang.

“Saya cuba mengelak dan melarikan diri tetapi tidak sempat sebelum terjatuh dan tergolek ke dalam longkang akibat terkena libasan gajah itu.

“Gajah itu pun nampak seperti marah dan mungkin juga terkejut bertembung saya. Mujur saya tidak dipijak oleh gajah berkenaan, jika tidak mungkin keadaan akan jadi bertambah buruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari sekolah berkenaan di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, Abdul Rahman mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan kaki kiri selain bengkak di bahagian pinggang.

Beliau yang diselamatkan oleh ibu bapa yang sedang menghantar anak-anak ke sekolah sama kemudian menerima rawatan dan jahitan di Hospital Kota Tinggi.

Abdul Rahman yang sudah 12 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, kehadiran kumpulan gajah dianggarkan antara tujuh hingga 20 ekor semakin kerap memasuki kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.

Katanya, selain merosakkan pagar sekolah, haiwan berkenaan turut menceroboh kebun kelapa sawit di belakang sekolah serta memusnahkan tanaman penduduk seperti tebu dan pisang.

“Malam kelmarin, kumpulan gajah ini dilaporkan merosakkan tanaman penduduk kira-kira 200 meter dari sekolah. Namun, kejadian pagi tadi adalah serangan pertama membabitkan penduduk setakat ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Sukirman Samsudin, 65, berkata isu gajah di kawasan berkenaan bukanlah baharu sebaliknya berlarutan sejak sekian lama.

“Kumpulan gajah ini biasanya akan berkeliaran sekitar kebun kelapa sawit di belakang sekolah ini selain memakan tanaman seperti pisang dan tebu di belakang rumah penduduk.

“Bagaimanapun, selama ini kumpulan gajah ini tidak pernah menyerang penduduk, paling tidak pun mereka akan merosakkan dan menyepahkan tanaman penduduk sahaja,” katanya.

Justeru, penduduk berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dapat mengambil tindakan segera termasuk memindahkan kumpulan gajah itu ke dalam hutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top