am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tindakan pengawal keselamatan mengugut seorang lelaki dengan menunjukkan objek seperti pistol di lampu isyarat Perodua Sungai Choh, Hulu Selangor membawa padah apabila dia ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghantar barang berusia 28 tahun pada jam 2.06 petang.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa yang memandu van dalam perjalanan dari Bukit Sentosa ke Kuala Lumpur.
“Motif kejadian berpunca daripada suspek yang mengatakan mangsa cuba melanggarnya dan menyebabkan suspek tidak berpuas hati.
“Susulan maklumat itu, polis menahan suspek berusia 54 tahun di Jalan Cempaka, Bukit Sentosa pada hari sama.
“Polis juga merampas barangan seperti hoster pistol, jaket, surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata dan peluru, topi keledar dan sebuah motosikal Honda RS-X,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ibrahim berkata, semakan rekod mendapati pengawal keselamatan itu mempunyai satu rekod jenayah selain keputusan air kencingnya adalah negatif.
Menurutnya, suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Polis mengingatkan semua pengawal keselamatan yang mendapat kebenaran membawa senjata api supaya mengikut peraturan ditetapkan dan tidak menunjukkannya kepada orang awam agar tidak menimbulkan ketakutan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



