Pengawal keselamatan turut cedera bergelut dengan perompak

Pengawal keselamatan turut cedera bergelut dengan perompak

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pengawal keselamatan yang bergelut dengan suspek semasa cuba mematahkan cubaan merompak sebuah kedai emas di Seksyen 14, di sini, turut mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit cuba menghalang suspek yang bersenjatakan pisau.

“Suspek seorang lelaki tempatan cuba merompak barangan kemas namun gagal melarikan diri selepas bergelut dengan pengawal keselamatan terbabit.

“Suspek yang bergerak secara berseorangan cedera akibat tembakan dilepaskan pengawal keselamatan terbabit sebelum disahkan maut pada 11.53 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek dan pengawal keselamatan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dirawat sebelum suspek disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Shamsudin berkata proses bedah siasat akan dijangka dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian untuk melengkapkan siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata dan Seksyen 39 Akta Senjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 0379662222 atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Zairi Zakaria, 013 8391124,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang perompak maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditembak pengawal keselamatan di sebuah kedai emas di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top