Pengawal Revolusi Iran dakwa serang tapak AS, Israel di seluruh Asia Barat

Pengawal Revolusi Iran dakwa serang tapak AS, Israel di seluruh Asia Barat

Istanbul/Hamilton (Kanada): Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Rabu mendakwa melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu berat pelbagai kepala ledak ke atas tapak ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat (AS) di seluruh Asia Barat, ketika ketegangan terus memuncak di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.

“Kesemua pangkalan AS di rantau ini, pusat perhimpunan tentera dan pusat sokongan tempur milik entiti Zionis (Israel) disasarkan dengan peluru berpandu pelbagai kepala ledak, termasuk jenis Kheibar Shekan, Emad dan Haj Qassem,” menurut IRGC dalam satu kenyataan.

IRGC mendakwa pusat sokongan tempur Israel di Acre, Haifa, Tel Aviv dan Beersheba telah musnah dalam serangan berkenaan.

Selain itu, IRGC menyatakan pihaknya turut menyerang pangkalan AS di Kuwait, Iraq, Qatar, Jordan, Bahrain, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan peluru berpandu pelbagai kepala ledak serta dron jitu.

Sementara itu, Rumah Putih memaklumkan pada Rabu bahawa tentera AS telah menenggelamkan “lebih 120 kapal tentera laut” milik Iran.

Aset-aset berkenaan “kini berada di dasar laut hasil tindakan Angkatan Tentera Amerika Syarikat,” kata jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt kepada pemberita.

Sambil menyifatkan ia sebagai “berita baik buat rakyat Amerika,” beliau menambah bahawa perkara itu juga merupakan “suatu perkembangan positif bagi sekutu kami di rantau itu.”

Leavitt menegaskan pendirian Presiden AS Donald Trump mengenai usaha Iran memperoleh senjata nuklear dan menegaskan bahawa Tehran “tidak boleh memiliki senjata nuklear secara kekal.”

Beliau juga turut menyatakan tidak akan “meramal atau menolak sebarang pilihan pada masa hadapan” terhadap Iran.

Ketegangan serantau terus memuncak memandangkan Israel dan AS meneruskan serangan bersama ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top