kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Gelombang seterusnya langkah pengecilan organisasi oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS ) akan dilaksanakan pada Mac ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata, satu lagi pusingan akan menyusul pada Julai sebelum proses itu dimuktamadkan pada Ogos depan.
“Kami sudah melalui fasa pertama tahun lalu dan kami tidak boleh melaksanakan pemberhentian pekerjaan secara sekali gus, proses ini dibuat secara berperingkat dan berfasa.
“Ia dijangka selesai sepenuhnya pada 1 Ogos apabila struktur organisasi baharu dimuktamadkan,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan 2025 di sini, hari ini.
Tengku Taufik mengakui proses berkenaan adalah satu langkah yang menyakitkan bagi kumpulan, namun perlu dilaksanakan bagi menyingkirkan kerja-kerja yang tidak lagi diperlukan.
“Ini adalah proses pengecilan organisasi bagi memastikan kerja yang tidak perlu dapat dikeluarkan.
“Kami juga cukup tangkas untuk melaksanakan tugas dalam persekitaran semasa, seperti yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.
Beliau menambah, kumpulan itu sentiasa mengambil kira keperluan untuk kekal berdaya saing, pantas dan fleksibel sepanjang proses berkenaan.
PETRONAS yang mempunyai kira-kira 52,000 kakitangan di seluruh dunia, pertama kali mengumumkan pada Februari tahun lalu bahawa kumpulan itu akan memulakan langkah pengecilan tenaga kerja menjelang pertengahan 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




