Pengedar dadah mati dipukul

Pengedar dadah mati dipukul

KUALA LANGAT: Hayat seorang pengedar dadah berakhir selepas bertarung nyawa selama lima hari ketika dirawat di hospital akibat dipukul menggunakan objek tumpul ketika sedang mengedar barang terlarang itu di sini, pada Isnin lalu.

Mangsa yang merupakan seorang kelindan lori berusia 24 tahun itu dipukul penduduk sekumpulan suspek dalam satu kejadian pergaduhan dekat sebuah kedai runcit sekitar Olak Lempit, Banting dipercayai akibat mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @Saleh berkata, polis menerima panggilan daripada talian kecemasan MERS 999 daripada seorang pengadu berusia 32 tahun berhubung kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu.

“Bagaimanapun, siasatan awal polis di lokasi kejadian menemukan satu beg berisi 10 paket tiub dadah jenis syabu seberat 3.63 gram dianggarkan bernilai RM2,000 dibawa mangsa.

“Namun, lelaki terbabit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Banting sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

Beliau menambah, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada 16 Januari kira-kira pukul 2.15 pagi akibat berlaku hentakan kuat pada bahagian kepala.

Jelas Ahmad Ridhwan, susulan itu, polis bersama sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat bertindak atas maklumat berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kira-kira pukul 2.15 pagi pada Jumaat lepas.

Tangkapan tersebut juga menemukan suspek seterusnya berusia 31 tahun pada Isnin lalu, kira-kira pukul 7 malam. Kedua-dua suspek ditangkap di sekitar Banting dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kedua-dua supek kemudian direman selama enam hari sehingga 23 Januari untuk siasatan lanjut.

“Pada peringkat awal, siasatan kes dibuat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan sebelum bertukar kepada Seksyen 302 kanun sama selepas mangsa meninggal dunia,” jelasnya.

Tambah Ahmad Ridhwan lagi, polis kini sedang berusaha mengesan dua suspek lagi disyaki terlibat dengan insiden tersebut. – UTUSAN