Pengeluaran dron Iran meningkat 10 kali ganda sejak perang

Pengeluaran dron Iran meningkat 10 kali ganda sejak perang
Pengeluaran dron Iran meningkat 10 kali ganda sejak perang

Tentera Iran Brigedier Jeneral Alireza Sheikh.

TEHERAN – Kadar pengeluaran dron serangan Iran meningkat 10 kali ganda sejak perang yang dilancarkan terhadap negara itu pada Jun, menurut Timbalan Pegawai Eksekutif Angkatan Tentera Iran Brigedier Jeneral Alireza Sheikh, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Beliau membuat kenyataan itu pada Khamis menjelang Hari Tentera Nasional pada 18 April, dengan memperincikan pencapaian angkatan tentera serta pengajaran daripada peperangan terkini.

Merujuk kepada pencapaian strategik angkatan tentera, beliau berkata Iran mengubah dinamika kuasa dalam pelbagai domain.

Beliau menekankan peningkatan ketara dalam pengeluaran pertahanan negara, dengan menyatakan, “dalam tempoh tujuh bulan selepas perang kedua, pengeluaran dron kami adalah 10 kali ganda berbanding jumlah keseluruhan pengeluaran sepanjang tempoh sebelumnya.”

Beberapa tapak nuklear dan ketenteraan utama Iran dibom oleh Amerika Syarikat dan Israel dalam konflik selama 12 hari pada Jun 2025.

“Satu revolusi sebenar berlaku dalam bidang dron. Ia memainkan peranan penting sebagai alat utama dalam mengganggu strategi pertahanan musuh, sekali gus membolehkan peluru berpandu kami menyerang sasaran dengan tepat,” katanya mengenai kemajuan teknologi dron negara itu.

Beliau mengaitkan kejayaan itu dengan pendekatan berdikari Iran, sambil menyatakan yang tumpuan Republik Islam itu terhadap keupayaan domestik memudahkan pengeluaran dalam semua sektor.

Sheikh turut menekankan kejayaan pertahanan Iran, dengan menyatakan yang tiada pencerobohan sempadan setakat ini walaupun terdapat perancangan meluas pihak “musuh” untuk serangan darat.

“Begitu juga, mereka tidak dapat menghampiri perairan wilayah kami. Kejayaan ini hasil daripada penempatan terkoordinasi angkatan tentera di seluruh landskap geografi Iran,” katanya.

Beliau menegaskan yang angkatan tentera bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan negara, sambil menyatakan yang Republik Islam dan tenteranya mampu melindungi negara. – Bernama

 

 

Scroll to Top